RONALDO (kiri) dan pemenang Pemain Terbaik Wanita Dunia dari Jerman, Nadine Kessler.
AFP

Zurich: Bintang Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo memenangi anugerah Ballon d’Or kali ketiga pada majlis anugerah FIFA di Zurich awal pagi semalam untuk merapati rekod penyerang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi.

Penyerang berusia 29 tahun yang memainkan peranan penting membantu Real merangkul kejuaraan ke-10 Liga Juara-Juara, mengatasi Messi dan penjaga gol juara Piala Dunia Jerman, Manuel Neuer.

Ronaldo menjadi bintang utama pada majlis gilang-gemilang itu dengan rakan sepasukan Real, James Rodriguez memenangi anugerah jaringan terbaik manakala Joachim Loew dari Jerman diumum jurulatih terbaik.

“Saya tidak pernah terfikir akan memenangi anugerah ini tiga kali,” ujar Ronaldo selepas menerima anugerah itu dan menegaskan akan terus berusaha memburu kegemilangan bola sepak.

“Saya mahu menjadi seorang daripada pemain terbilang sepanjang zaman dan sudah tentu ini memerlukan usaha keras,” jelas penyerang Portugal itu yang turut memenangi anugerah sama pada 2013 dan 2008.

Ronaldo, dengan anak dan ibunya turut hadir pada majlis itu menangis kegembiraan apabila dia tampil untuk menerima anugerah, memuji rakan sepasukan dan menyanjung keluarganya.

“Saya berterima kasih kepada ibu, bapa (mendiang) dan keluarga saya,” kata Ronaldo. “Ia tahun yang sukar dilupakan dan memenangi trofi yang penting ini sukar untuk digambarkan.”

Bintang Portugis itu kemudian beralih ke Twitter untuk melahirkan kegembiraannya.

“Tahun 2014 penuh dengan saat mengagumkan. Terima kasih semua” tulisnya di Twitter.

Ronaldo mengemudi Real menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah kali ke-10, yang pertama dalam tempoh 12 tahun dengan penuh bergaya pada tahun lalu, serta turut memecahkan rekod 15 gol Liga Juara-Juara Messi dalam semusim dengan 17 gol dalam 11 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:15 AM