MAMORU Abe memilih kayu yang sesuai digunakan bagi melahirkan keunikan kerja seninya.
KARYA bertajuk Occurrence: Installation I.
LUKISAN Occurrence: Drawing III menggunakan medium grafit dan acrylic
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

Nama Mamoru Abe mungkin agak asing dalam kalangan peminat seni kontemporari tempatan namun di peringkat dunia, pelukis seni instalasi dari Jepun itu sudah lama bergelumang dalam seni lukis.

Rentetan daripada pameran Kembara Jiwa Fukuoka di Muzium Seni Asia Fukuoka tahun lalu, Galeri Chandan menjemput pelukis itu ke Malaysia.

Setiap artis mempunyai keunikan tersendiri termasuk Mamoru yang mampu menyerap sesuatu di sekelilingnya dan mengubahnya sehingga terhasil sebuah karya kreatif dan berseni.

Kebolehannya turut diiktiraf Royal Selangor, Yayasan Jepun Kuala Lumpur dan Galeri Persendirian Uku di Fukuoka.

Justeru, pameran 'Occurrence: Installations and Drawings' dilihat sebagai pemangkin kekuatannya menonjolkan nilai alam semula jadi dalam karya seninya.

'Occurrence' mengungkap kerja seninya sebagai fenomena, pengalaman, peristiwa atau perkembangan.

Pemegang Sarjana dari Universiti Tokyo dalam bidang seni halus dan muzik ini mempunyai pengalaman luas dalam pameran seni solo sejak 1990 bermula di Galeri Gulbenkian, London.

Penonton yang meminati sentuhan unik artis ini boleh mengunjungi Galeri Chandan untuk menyaksikan lukisan hebatnya sehingga 25 Oktober ini dan masuk adalah percuma.

OCCURRENCE: INSTALLATIONS and DRAWINGS

Artis: Mamoru Abe

Jumlah karya: 10

Lokasi: Galeri Chandan, Lot 24 & 25, Level G4, Block C5, Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur

Tarikh: Sehingga 25 Oktober 2014

Masa: 10 pagi hingga 6 petang

Telefon: 03-62015360

Web: galerichandan.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:06 AM