Oleh Muhammad Apendy Issahak


Kampung Gajah: Kerugian dialami syarikat air di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir dianggarkan lebih RM10 juta selepas beberapa loji rawatan air di negeri berkenaan ditenggelami air hingga mengakibatkan pelbagai peralatan termasuk pam air rosak.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi Kelantan kerugian dianggarkan mencecah RM6 juta dan di Pahang pula RM4 juta, manakala di Perak hanya membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM240,000.

Menurutnya, sehingga hari ini masih terdapat tiga lagi loji rawatan air yang ditutup iaitu dua di Gua Musang, Kelantan dan satu di Jerantut, Pahang, manakala semua loji di Perak yang terjejas akibat banjir sudah beroperasi seperti biasa.

"Keseluruhan loji air di Kelantan ada 32 dan 27 daripadanya terpaksa ditutup ketika bencana banjir besar berlaku, namun kebanyakannya sudah berjaya dipulihkan semula dan kini hanya dua saja yang masih belum beroperasi.

"Di Pahang pula terdapat 16 loji yang terjejas serta hanya satu yang masih belum beroperasi kerana bekalan elektrik masih terputus di kawasan berkenaan dan bagi Perak, hanya tiga loji saja yang terjejas dan kesemuanya sudah dipulihkan semula," katanya selepas melawat Loji Rawatan Air Kampung Gajah, di sini hari ini.

Mahdzir berkata, bagi kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air bersih, bantuan bekalan air disalurkan dengan menggunakan lori tangki dari beberapa negeri berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 1:15 PM