HIDANGAN ringkas 'nasi bogel' dengan hanya nasi putih, telur dadar, timun, kuah sup dan kentang goreng turut menarik perhatian pelanggan.

Kepelbagaian menu di Kuali Utara Corner yang terletak di medan selera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Taman Impianku, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Pahang membuatkan kedai itu menjadi tumpuan ramai.

Hidangan tomyam poktek, nasi bujang atau nasi 'bogel', nasi Thai, ikan siakap masak tiga rasa dan mi Hong Kong dengan cita rasa Thai cukup terkenal dalam kalangan pelanggannya.

Tomyam poktek misalnya, dijual pada harga RM7 semangkuk mempunyai keistimewaan tersendiri dan hanya diketahui sebaik menghirup kuahnya yang dikatakan boleh 'melekat' pada anak tekak.

"Kuahnya yang merah dan pedas berganda mampu menitiskan air mata pelanggan secara spontan.

"Namun, bagi yang tidak tahan pedas boleh minta tahap kepedasannya dikurangkan tetapi namanya tidaklah tomyam poktek lagi, sebaliknya sekadar tomyam biasa saja," kata pengusaha kedai berkenaan, Norazly Nordin, 34.

Menurutnya, 'poktek' dalam bahasa Thailand bermaksud pedas dan sajian itu memang antara menu utama yang menjadi pilihan pelanggan.

"Antara makanan laut di dalamnya ialah sotong, udang dan isi ikan, selain daging dan ayam.

"Biasanya, kami letak isi ikan siakap kerana rasanya yang manis dan sedikit air limau nipis," katanya.

Kuali Utara Corner me-nyediakan masakan berkonsepkan gabungan resipi dari Perlis dan Thailand.

Setiap hidangan menggunakan rempah dari negara gajah putih itu yang diadun dengan ramuan disediakan Norazly hasil daripada resipi turun-temurun keluarganya. Dia sendiri berpengalaman 10 tahun dalam bidang masakan.

Mengenai nasi Thai, ia juga memiliki keistimewaan tersendiri kerana mempunyai kombinasi dua lauk, ayam atau daging masak kicap dan ayam goreng kunyit bersama sambal belacan.

Satu lagi menu paling mudah atau menu bajet dengan gelaran 'nasi bogel' turut mendapat perhatian pelanggan.

Ia nasi putih hanya dihidangkan bersama telur dadar, timun, kuah sup dan kentang goreng pada harga RM3.50 sepinggan.

Walaupun baru beroperasi setahun lalu, Kuali Utara Corner yang dibuka dari jam 3 petang hingga 2 pagi mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya berharap apa yang dihidangkan di sini menepati cita rasa semua," kata Norazly yang dibantu empat pekerja.

Menurutnya, bukan semua orang mampu menikmati hidangan mahal setiap hari, sebab itu pihaknya menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.

"Sesiapa saja boleh menikmati makanan kegemaran mereka kerana harga ditawarkan di kedai kami antara yang terendah berbanding kedai lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:01 AM