Walaupun sudah lama bergiat aktif dalam sesuatu 'game', tidak bermakna kita mengetahui genre sebenar permainan itu. HAZRIL MDNOR kemukakan tiga genre 'game' utama yang menjadi kegilaan remaja masa kini.

Bagi sesiapa yang sudah lama bergiat dalam landasan ini pastinya mengetahui jenis genre bagi setiap 'game' dimainkan. Namun, untuk anak muda yang belum didedahkan mengenai genre 'game' popular masa kini, Gen Y ada jawapannya.

First Person Shooter (FPS)

Ketangkasan dalam menentukan sasaran dan kecekapan ketika bertindak adalah elemen utama kepada permainan First Person Shooter (FPS) ini. Kebiasaannya, permainan ini berteraskan konsep seperti pemilikan watak avatar dan dibekalkan senjata mahupun kelengkapan tentera seperti bom tangan dan lain-lain. Berbeza dengan 'game' konsep lain, FPS lebih mementingkan fokus. ketepatan, kebijaksanaan menentukan posisi serta keupayaan pemain menjatuhkan pihak lawan dengan sepantas kilat. Paling seronok, boleh bermain bersama rakan menerusi fungsi 'multiplayer' yang menggalakkan kerjasama antara pasukan demi memenangi pertandingan.

Corak permainannya sa­ngat mudah bahkan pemain amatur boleh mempelajarinya tanpa memerlukan pemerhatian khusus dari golongan profesional. Pemain biasanya akan menjadi watak utama dan ditugaskan untuk menghapuskan keseluruhan pasukan lawan menggunakan senjata. Pasukan yang mengumpul mata paling ting­gi akan memenangi pertandingan.

Latar tempatnya pula pelbagai dan kebiasaan­nya kawasan ataupun 'map' seperti padang pasir dan kawasan kontena antara paling popular dihasilkan oleh syarikat video 'game'. Penulis pasti meskipun anda tidak biasa dengan permainan sebegini, anda pasti pernah terdengar ataupun mengenali permainan video popular seperti Counter Strike sebagai FPS paling berpengaruh sekali gus berjaya melonjakkan populariti permainan berkonsepkan FPS di serata dunia.

Paling menarik, setiap 'game' FPS diterbitkan memberikan kelainan dari segi tema, latar dan corak permainan.Contohnya, ada permainan video yang mengutamakan konsep lebih futuristik dengan memperkenalkan senjata berteknologi canggih, lain dengan apa dilihat sekarang. Latar masa juga memainkan peranan penting menentukan tahap keseronokan pemain misalnya penciptaan FPS yang berkonsepkan zaman Perang Dunia ke-2 seolah-olah memberikan kelainan berbeza kepada pemain untuk merasa sendiri suasana peperangan pada ketika itu.

Walaupun berteraskan konsep perlawanan sentiasa berulang, ternyata keseronokan tidak hilang kerana setiap perlawanan memberikan suasana berbeza pada pemain. Contohnya, setiap perlawanan memerlukan pemain memfokuskan pada pihak lawan menggunakan pelbagai strategi seperti peng­gunaan senjata jarak jauh seperti 'sniper' dan kadangkala perlu meng­gunakan senapang saja mahupun pisau untuk menjatuh­kan pihak lawan.

Multiplayer Online Battle Arena (MOBA)

Apa yang mencipta kelainan kepada salah satu genre game popular masa kini? MOBA dilihat dari sudut berbeza kerana corak permainannya unik dan menggalakkan pemain mencipta strategi sendiri serta boleh memberikan kepuasan maksimum kepada pemain. Sebagai contoh Dota 2 di mana pemain mengawal salah satu daripada 102 watak untuk memusnahkan 'Artifak Purba' (Ancient) musuh di dalam perlawanan lima lawan lima, setiap pembunuhan hero musuh dapat memberi kepuasan dan keseronokan, apatah lagi jika dapat membantu rakan-rakan seperjuangan untuk memenangi perlawanan.

Berbeza dengan 'game' berkonsepkan FPS, MOBA dilihat sebagai landasan paling cepat berkembang kerana lebih ramai anak muda meminati konsep permainan ini. Buktinya, lama web Bit-tech-menyenaraikan Dota 2 ­sebagai 'game' paling popular di aplikasi 'Steam' kerana mencatatkan seramai 800,000 pemain aktif setiap hari.

Umumnya, setiap pemain berkebolehan menjalani proses perubahan karakter dari segi kekuatan dengan setiap barang (item) yang dibeli. Konsepnya mudah, kekuatan karakter itu ditentukan oleh kepandaian pemain melakukan tetakan terakhir (last hit) pada raksasa kecil untuk memperoleh duit (gold). Duit diperoleh hasil dari kejatuhan hero pihak lawan dan pembunuhan raksasa kecil boleh digunakan untuk membeli barang-­barang bagi menguatkan karakter pemain.

Menariknya, pemain boleh mengembangkan bakat mereka seiring dengan konsep permainan itu mengandungi pelbagai hero berbeza. Setiap hero itu mempunyai peranannya sendiri seperti pembantu, pembunuh dan pelindung . Realitinya, pemain berkebolehan me­nguasai mana-mana peranan yang digemari sekali gus hal ini menggalakkan pemain menukar peranan mengikut kehendak perlawanan. Hal ini sudah tentu membuatkan mereka lebih versatil dan cekap dalam permainan berkenaan.

Permainan atas talian

Permainan video masa kini bukan saja berkonsep­kan kerjasama antara pasukan. Sebagai contoh, permainan atas talian ataupun 'online game' lebih berlainan kerana pemain diberi pilihan untuk bermain secara solo mahupun berkumpulan. Konsepnya pula amat berlainan jika dibandingkan de­ngan FPS dan MOBA kerana permainan sebegini memerlukan pemain untuk melaksanakan tugasan tertentu dalam dunia 'game' itu yang sangat luas.

Misalnya, perkemba­ngan sesuatu karakter mudah diertikan dengan konsep mengejar peringkat tertinggi melalui persaingan antara pemain lain. Permainan atas talian seperti 'World of Warcraft' misalnya lebih kompleks dan popular kerana sistem permainannya unik dan menarik. Pemain diberi pilihan untuk memilih watak dari belasan jenis karakter dari latar belakang berbeza. Setiap karakter itu pula menampil­kan koleksi kuasa magis dan cara berlawan berlainan sekali gus menonjolkan kekuatan setiap watak.

Paling seronok apabila pemain berupaya mengadakan sesi pertukaran barangan dengan pemain lain melalui sistem 'trading' ataupun 'auction house'. Fungsi ini dicipta untuk menggalakkan setiap pemain mengumpul koleksi barangan yang boleh ditukarkan kepada pemain lain menggunakan sistem wang seterusnya mencipta keseronokan dalam permainan. Hasilnya, setiap pemain berupaya mengumpul koleksi barangan karakter yang lengkap, unik dan berbeza.

Apa membezakan antara genre permainan ini dengan 'game' lain sudah tentu­nya pengolahan grafiknya yang cantik dan memukau perhatian. Contohnya, permainan Perfect World menggambarkan lakaran dunia maya lebih memfokuskan elemen fantasi dan budaya cina. Setiap ciptaan seperti pokok, bangunan dan elemen lain contohnya bayang-bayang, cuaca dan waktu siang malam dilakar dengan teliti ibarat karakter anda berada di dunia nyata sekali gus menjadikan permainan itu popular dalam kalangan peminat 'online game'. Selepas meneliti corak permainan 'game' yang berbeza, mana satu pilihan anda?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:02 AM