PERKONGSIAN ilmu dengan peserta rombongan di Sepanyol.
PERKONGSIAN ilmu dengan peserta rombongan di Sepanyol.

Terhidu bau rumput yang menghijau di kompleks Madinat Az-Zehra, Serville, Sepa­nyol yang menjadi 'alas' solat jamak Zohor dan Asar, terasa betapa agungnya setiap ciptaan Allah SWT. Aroma tumbuhan itu membuatkan seluruh saraf terasa segar lantaran dahi yang bersujud terus kepada bumi.

 

Selesai solat berjemaah yang diimamkan ketua rombongan Kembara Muslim Cordoba-Spain, Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, diadakan pula tazkirah untuk mengingatkan 83 peserta rombongan me­ngenai tanggungjawab setiap hamba-Nya terhadap Allah dan kewajiban untuk me­ngerjakan solat lima waktu walau di mana saja kita berada.

 

Itu adalah antara pe­ngisian yang mengisi pe­ngembaraan rombongan ke Sepanyol selama lapan hari meliputi lawatan ke lima bandar bersejarahnya, Madrid, Cordoba, Seville, Granada dan Toledo. Semua bandar itu lebih 700 tahun lalu dikenali dengan nama Andalusia yang menjadi pusat pemerintahan dan kegemilangan agama Islam pada zaman Bani Umayyah.

 

Menitis air mata peserta rombongan melihat Masjid Cordoba yang dulunya menjadi kebanggan umat Islam kini bertukar gereja lantas Ustaz Zul mengingatkan mereka semua betapa umat Islam perlu mengukuhkan keimanan masing-masing agar agama Islam tidak lagi sewenang-wenangnya diceroboh.

 

Ustaz Zul yang popular menerusi program Jalan Orang Mukmin bersiaran di TV AlHijrah setiap Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu kini bersama syarikat konsultan, Dirgahayu Consultant Sdn Bhd yang turut diterajui Mohamad Sharudin Dawam, giat memperkenalkan pakej kembara Muslim di luar negara dan tahun depan akan mengadakan pakej kembara ke Itali dan New Zealand, selain mengadakan latihan kerohanian kepada kakitangan syarikat seperti Petronas, Malakoff dan jabatan kerajaan.

 

Penceramah dan pendakwah bebas itu juga sering kali muncul dalam program Tanyalah Ustaz (TV9), Al-Hidayah (TV3), Al-Kuliyah (TV3), Forum Perdana (TV1) dan turut ke udara dalam segman Usrah Nurani di radio IkimFM, setiap Jumaat jam 5.15 hingga 6.45 petang.

 

"Dirgahayu Consultant ditubuhkan pada 2013 yang pada asasnya menyediakan pengurusan latihan, melatih bekerja secara berkumpulan, membina jati diri dan keyakinan yang berpaksi kepada modul Islamik.

 

"Kami memperkenalkan modul, Kerjaku Syurgaku di mana kami mahu mewujudkan sudut pandang berbeza dalam kalangan pekerja mengenai pekerjaan mereka yang boleh memberi ketenangan dan kepuasan ketika bekerja. Rasa ketenangan itu perlu ada untuk menzahirkan organisasi yang cemerlang," katanya.

 

Namun untuk menjadi umat Islam yang hebat juga, jelas Ustaz Zul, mereka perlu melihat dunia luar.

 

"Atas dasar itulah Dirgahayu Consultant memperkenalkan pakej kembara Muslim. Sambil berjalan melihat keindahan negara orang, kita boleh belajar sejarah dan tamadun di sesebuah negara. Contohnya, di Sepanyol bermulanya tamadun Islam di Eropah.

 

"Ramai masyarakat kita hari mampu melancong ke luar negara namun mereka ke sana sekadar lawatan biasa dan membeli belah. Apabila pergi dengan kami, ada teori dan praktikal di mana kita terus menghayati sejarah negara itu menerusi tazkirah yang diberikan dari semasa ke semasa. Percutian itu akan jadi lebih bermakna," katanya.

 

Kembara paling hampir ialah Kembara Harmain Muslim Dua Tanah Haram-Makkah dan Madinah pada 17 hingga 27 Disember ini. Kepada yang ingin menyertai pakej itu layari, www.dirgahayuconsultant.com.my.

 

"Tidak salah untuk kita melancong ke negara mana pun kerana di lokasi yang disinggahi itu pasti ada tanda kebesaran Ilahi tetapi yang menjadi persoalannya macam mana kita nak membawa minda itu untuk menghayati kebesaran Allah SWT. Ada yang pergi ke Makkah dan Madinah seperti melancong tanpa ada penekanan dan penghayatan di setiap temapat yang dilawati.

 

"Lawatan ke Masjid Quba di Madinah misalnya, mereka hanya pergi solat sunat dan bergambar tanpa menghayati sejarah pembinaan masjid pertama yang dibina oleh orang Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 8:50 AM