X
DALAM gambar yang dipaparkan di Instagram, Jorgeson mengira langkah pendakian seterusnya.
DALAM gambar yang dipaparkan di Instagram, Jorgeson mengira langkah pendakian seterusnya.
Susunan Siti Salmiah A Hamid

Ia kelihatan sayup apabila anda berada di bawah batu granit gergasi itu. Sama seperti dalam filem Barat, anda pasti dapat membayangkan jika tiba-tiba batu di puncak granit itu jatuh bertebaran menimpa hutan di bawah.

Ada ketikanya, terbayang pemangsa seperti burung gergasi berada di dalam sarangnya di atas puncak. Terdengar bunyi kepaknya berkibar sebagai tanda si burung gergasi mahu mencari mangsa terbarunya.

Ia adalah sebahagian daripada khayalan dan cerita mitos yang pernah disaksikan dalam filem, namun tidak apabila membicarakan keazaman dua lelaki tempatan ini.

Dua lelaki kelihatan berada pada separuh jalan sewaktu mendaki batu granit yang paling sukar di dunia, di Taman Negara Yosemite, California berkeluasan 302,687 hektar.

Tommy Caldwell, 36, dari Estes Park, Colorado dan Keven Jorgeson, 30, dari Santa Rosa, California, berada pada kedudukan 914.4 meter di atas permukaan El Capitan monolit granit di Yosemite hanya menggunakan tangan dan kaki mereka.

Untuk mendaki di atas permukaan batu yang tersergam itu memerlukan bantuan peralatan mendaki iaitu tali dan piton yang digunakan oleh kebanyakan pendaki.

Bagaimanapun, Caldwell dan Jorgeson sebaliknya cuba untuk mendaki laluan yang belum pernah dipanjat oleh sesiapa pun tanpa bantuan.

Keadaan mereka dilihat mencatat kemajuan apabila sudah mencapai 32 kecerunan yang direkodkan oleh pendaki dan jurugambar Tom Evans serta pembikin filem Brett Lowell.

Kedua-dua lelaki itu bersantai sambil makan dan tidur di dalam khemah gantung yang disangkut pada Dawn Wall El Capitan.

Mereka tidak menikmati keselesaan seperti di rumah, tetapi mereka sentiasa berhubungan dengan dunia luar terima kasih media sosial seperti Twitter dan Facebook serta menyampaikan maklumat menerusi blog selain sering berhubung dengan kumpulan penyokong.

"Caldwell dan Jorgeson melakukannya dengan baik. Mereka berehat pada Isnin lalu dan cuba untuk membaiki kulit pada hujung jari-jemari agar mereka boleh meneruskan perjalanan dengan bahagian paling sukar didaki termasuk menyambar batu kecil dan tajam.

"Jika semua berjalan seperti yang dirancang, kedua-duanya akan berada di puncak, paling cepat pada Jumaat atau Sabtu.

"Itu jika senario baik terjadi. Tetapi, ia mungkin mengambil waktu lebih lama untuk melalui bahagian yang sukar berdasarkan kedudukan mereka kini. Jika cuaca berubah, ia juga mampu melambatkan perjalanan, tetapi ramalan cuaca kelihatan baik ketika ini," kata Josh Lowell kepada Big Up Productions yang merakamkan pengembaraan pasangan terbabit kerana mereka sudah berjuang dengan laluan itu sejak enam tahun lalu.

Ia akan menjadi kemuncak kepada projek enam tahun untuk menakluk laluan yang mereka panggil sebagai Dawn Wall.

Pasangan itu sehingga kini beransur-ansur meneruskan pendakian mereka ke laluan cerun di atas, setiap langkah memerlukan latihan sehinggalah mereka boleh memanjat dan berpaut dengan bebas tanpa jatuh atau menggunakan bantuan daripada peralatan mendaki.

Pada percubaan sebelumnya, mereka mendaki laluan baru itu, tetapi menghadapi masalah. Caldwell dan Jorgeson melakukan banyak percubaan pada 2010, tetapi ribut membantutkan kemajuan yang dikecapi kira-kira satu pertiga laluan manakala pada 2011 ketika melakukan percubaan, Jorgeson cedera sehingga patah bahagian buku lali.

Selepas sambutan Krismas 2014, pasangan itu memulakan percubaan terbaru untuk mendaki keseluruhan laluan tanpa henti.

Sudah ramai yang memanjat Dawn Wall, tetapi pasangan itu bakal menjadi 'pendaki bebas' pertama yang mendaki laluan menggunakan tali hanya sebagai perlindungan daripada terjatuh.

Pendaki sebelumnya menggunakan tali dan piton untuk membantu menarik diri mereka sendiri ke atas selain untuk menghalang mereka jatuh ke tanah.

Caldwell dan Jorgenson pula menarik diri mereka sendiri ke laluan di atas hanya menggunakan pencangkuk kecil yang boleh mereka temui pada batu itu.

Bagi Caldwell, ia dianggap 'sengaja menempah maut' berbanding perkara yang terjadi pada 2001 ketika dia terpotong jari telunjuk kiri dengan gergaji meja.

Dia dilatih secara psikologi untuk mengingati angka yang belum dicapai bagi membakar semangat. Tetapi, batu tajam granit di Dawn Wall mencincang kulit jemari menyebabkan kedua-dua lelaki ini terpaksa membalut hujung jari dengan pita.

Pendaki pertama yang sampai puncak El Capitan adalah pada 1958 dan terdapat kira-kira 100 laluan ke puncak.

Menurut Evans, kedua-duanya mempunyai telefon bimbit, tetapi mereka tidak menjawab panggilan pada Isnin lalu dengan alasan mahu berehat dan tidak mahu tumpuan terganggu ketika berada pada tebing batu.

Mereka juga tidak menjawab e-mel ketika berada pada paras kira-kira 457.2 meter dari atas tanah.

Amalan itu mungkin tidak kelihatan luar biasa, tetapi mereka bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk mendokumentasikan pengembaraan mereka.

Kedua-duanya mengemas kini laman FB dan kerap 'tweet' dari Dawn Wall yang dipanggil sebagai 'sehalus putih gebu, securam dinding bilik tidur'.

Jumaat lalu, Jorgeson menganjurkan sesi soal jawab secara langsung dari batu granit. Isteri Caldwell, Becca turut menulis blog mengenai perjalanan mereka setiap hari.

Jorgeson menulis 'tweet' pada Sabtu lalu mengenai kesukarannya meniti satu bahagian: 'Bertarung. #dawnwall'.

Pada 30 Disember, pasangan terbabit berjaya melalui bahagian yang paling sukar pada dinding granit itu.

Jorgeson berkata dalan FB: "Malam ini, saya menghantar cerunan paling sukar dalam hidup dan paling sukar di Dawn Wall! Yang paling menarik, Tommy melepasinya selepas saya! Kecerunan 14 (laluan pertama) dalam genggaman!"

Caldwell menambah: "Ia cerunan paling sukar kami berdua lalui malam ini. Saya mungkin masih dalam kejutan sekarang. Laluan ini umpama mengenakan tol pada hujung jari. Namun, kami kini akan mendaki dengan hujung jari berbalut, tetapi ia tidak banyak memperlahankan kami."

Terdapat 32 bahagian pendakian. Pada malam Ahad, ujar Lowell, Caldwell mendaki dalam keadaan gelap, menyelesaikan tiga bahagian yang paling sukar didaki yang juga dianggap sebagai satu kejayaan besar.

"Caldwell masih mempunyai 457.2 meter, pendakian menakutkan di hadapan, tetapi secara mental dia berasa sangat yakin sekarang dan amat teruja.

"Jorgeson kini semakin dekat untuk melengkapkan 15 kecerunan, satu daripada yang sukar. Dia akan cuba untuk melengkapkannya dan mengejar Tommy agar mereka terus maju ke hadapan," kata Lowell.

Pada 1970, Warren Harding dan Dean Caldwell (tiada hubungan dengan Tommy Caldwell) mendaki Dawn Wall menggunakan tali dan rivet lebih dari 27 hari.

Duo itu melakukan persiapan pendakian sekurang-kurangnya enam tahun, menurut rakan dan laman web peribadi mereka.

John Long, orang pertama mendaki El Capitan dalam sehari pada 1975 berkata, dia berbual ­dengan pendaki itu.

"Tidak dapat dibayangkan jika ada sesiapa yang boleh melakukan kesukaran berterusan," katanya pada Isnin lalu, sambil menambah bahawa beliau percaya mereka menghabiskan waktu berharga sebagai persediaan pendakian.

Ikuti perjalanan Jorgeson dan Caldwell di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM