Oleh Nor Faizah Mohamed


Tahun baru, musim baru dan gaya baru. Namun dalam galaknya mengubah yang lama ke baru, masih ada beberapa perkara atau elemen lampau yang perlu dikekalkan warisannya.

Seperti apa yang diketengahkan Puma, elemen lama dan baru bukanlah diletakkan sebagai saingan, namun dipadankan seiring serta saling melengkapi.

Sememangnya 2014 diraikan penuh gemilang dengan kemunculan beberapa koleksi pilihan si golongan hipster.

Sebahagian besarnya diambil daripada koleksi terdahulu yang kemudian diberi nafas baru agar seiring dengan trend terkini.

Rekaan dan hala tujunya pula lebih terarah kepada unsur gaya jalanan, namun masih diselitkan beberapa ciri unik.

Sepatu Puma Ferrari Limitate misalnya, antara himpunan paling dinantikan peminat fesyen jalanan susulan kolaborasi menarik itu.

Dengan mengetengahkan sisi sofistikated Ferrari bersama rekaan segar Puma, koleksi ini refleksi kepada gaya prestij Ferrari yang diterjemahkan ke dalam estetika fesyen.

Setiap perincian dibuat dengan hasil kerja artisan Itali dan setiap bahagian ibarat epitome kepada ruang dalaman kereta mewah itu.

Atas ketelitian dan pertukangan berkualiti tinggi itu, hanya 48 pasang yang menjengah pasaran Malaysia.

Sementara itu, koleksi Forever Faster diperkenalkan sebagai misi untuk menjadikan Puma selaku jenama sukan paling pantas dan maju di dunia.

Menyasarkan kepada, 'Game­changers' iaitu kalangan atlet progresif berusia 16 ke 24 tahun, platform Forever Faster ini menyerlahkan nilai semangat kesukanan yang tinggi, padu dan penuh keyakinan.

Koleksi Forever Faster ini berusaha mengangkat atlet yang berusaha menonjolkan individualiti dalam aksi dan personalitinya.

Manusia terpantas dunia, Usain Bolt dipaparkan selaku wajah Forever Faster bersama ikon bola sepak, Mario Balotelli, Sergio Aguero dan Marta Vieira; pemain golf, Rickie Fowler dan Lexi Thompson serta pasukan Formula Satu Scuderia Ferrari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM