Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semakin lancar apabila penganjur perlumbaan Human Voyage (M) Sdn Bhd dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mencapai persetujuan berhubung isu pengiktirafan dan pertukaran tarikh perlumbaan semalam.

Menerusi satu mesyuarat dipengerusi Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Jamil Salleh, kedua-dua pihaknya akhirnya bertolak-ansur bagi memastikan perlumbaan yang memasuki edisi ke-20 berkenaan berjalan lancar seperti dirancang.

PKBM pada awalnya meletakkan beberapa syarat berkaitan yuran penganjuran serta beberapa perkara lain untuk dipersetujui Human Voyage (M) Sdn Bhd sebelum memberikan pengiktirafan kepada perlumbaan berstatus hors classe itu.

“Selagi PKBM tidak memberikan pengiktirafan, sebarang pertukaran tarikh tidak boleh dilakukan kerana hanya PKBM berhak menukar tarikh berkenaan.

“Namun selepas mengadakan perbincangan dan mendengar alasan diberikan pihak penganjur, kami bertolak ansur selain memikirkan pembabitan KBS yang sudah mengeluarkan dana RM10 juta,” kata Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab semalam.

Penganjur LTdL 2015 berhasrat menukar tarikh perlumbaan asal iaitu 5 hingga 14 Mac kepada 8 hingga 15 Mac dengan saingan berlangsung lapan peringkat.

“Apabila sudah mencapai persetujuan dengan syarat yang ditetapkan, kami tidak mempunyai masalah memanjangkan pindaan tarikh kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“PKBM akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran perlumbaan ini. Tiada lagi isu dengan kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan,” kata Abu Samah.

Perlumbaan 2015 adalah usaha pertama KBS mengembalikan penganjuran kepada pihak swasta selepas beberapa tahun mengambil alih penganjurannya dengan pihak penganjur dijangka mengumumkan laluan perlumbaan pada Khamis depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:03 AM