KHAIRUNISA (tengah) bersama ibu dan bapanya serta Mohd Nor.
KHAIRUNISA memperagakan kemahiran menimbang bola disaksikan Mohd Nor.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: “Saya begitu teruja apabila mendapat tahu nama tersenarai untuk menjalani latihan bola sepak di England dan tidak sabar untuk ke sana,” kata Khairunisa Baba, 12, murid Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang (SKTK), Port Dickson.

Dia antara tiga peserta dari Negeri Sembilan dan 30 dari seluruh negara yang terpilih menyertai Kem Bola Sepak West Ham United di England menerusi program Kem Bola Sepak 1MCC-Astro 2014/2015, selama 12 hari bermula 14 Mac ini.

Menurut murid Tahun Enam itu, pembabitannya secara serius dalam bola sepak bermula ketika menyertai Akademi Bola Sepak TMS Old Boys pada awal tahun lalu.

Katanya, sepanjang penyertaan itu, dia menjalani latihan di Sekolah Tinggi Port Dickson (STPD) setiap Sabtu dan Ahad di bawah kendalian jurulatih Khusairi Ahmad, 25.

“Saya bersama 30 pelatih lain diberikan pendedahan mengenai teknik bermain bola sepak selain menyertai beberapa perlawanan persahabatan dan kejohanan peringkat tempatan.

“Banyak ilmu dan kemahiran bermain bola sepak saya peroleh. Biarpun saya perempuan, namun ia tidak menghalang saya bermain bola sepak iaitu acara sukan yang saya minati sejak berusia enam tahun.

“Malah aktiviti ini juga tidak menghalang jadual sesi persekolahan dan pembelajaran,” katanya selepas menjalani latihan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, yang turut ditemani bapanya, Baba Mohammad, 55, dan ibu, Rafidah A Rahman, 42.

Khairunisa yang juga anak bongsu daripada dua beradik dan beraksi di posisi pertahanan berharap dapat menimba pengalaman ketika berada di England.

“Saya akan berusaha memanfaatkan peluang menyertai kem bola sepak di England sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kemahiran selain mengharumkan nama negeri dan sekolah,” katanya yang meminati penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo dan pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim.

Sementara itu, Presiden Akademi Kelab Bola Sepak TMS Old Boys Mohd Nor Azam Abdullah berkata, akademi itu yang ditubuhkan 10 tahun lalu kini memiliki 150 pemain lelaki dan perempuan berusia antara tujuh hingga 15 tahun dari beberapa daerah di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:10 AM