KANAK-kanak yang dikurung dan disyaki didera bapa sendiri. (Kiri) Gambar mangsa sebelum kejadian. FOTO NSTP
Oleh Salman Hamat


Butterworth: Polis selamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun disyaki menjadi mangsa kurung dan dera bapa hasil serbuan di sebuah flat di Butterworth, 7.15 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, serbuan itu adalah susulan laporan diterima daripada guru kerana kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah selepas mendaftarkan diri Isnin lalu.

"Kami sebenarnya menyerbu dua kediaman, di premis pertama pegawai penyiasat menahan bapa mangsa, lelaki itu enggan memberikan kerjasama namun dia kemudian akur dan menunjukkan tempat anaknya dikurung.

"Premis yang berhadapan dengan kediaman bapanya itu tidak dilengkapi kemudahan api dan air dan mangsa ditinggalkan di situ seorang diri," katanya.

Abdul Rahman berkata, ketika ditemui, kanak-kanak itu berada dalam keadaan menggeletar dan kelaparan dipercayai akibat tidak diberi makan.

"Ketika melihat pegawai penyiasat masuk mangsa terus berdiri dan meminta makanan dan didukung sebelum diberikan air soya," katanya.

Bapa mangsa ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 7:34 PM