Jakarta: Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) tetap akan menahan calon Ketua Polis Indonesia Budi Gunawan dan membicarakannya atas tuduhan rasuah.

Abraham Samad berkata, ia sudah menjadi tradisi.

“Tidak akan terjadi dalam KPK bahawa orang yang sudah dinamakan suspek tidak akan ditahan,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, penahanan terhadap Budi hanya akan dilakukan apabila dokumen yang diperlukan sudah sekurang-kurangnya 50 peratus siap.

“Berdasarkan prosedur operasi standard KPK, apabila prosedur mengisi dokumen sudah 50 peratus siap, Budi Gunawan akan ditahan. Orang ramai tidak perlu meragui mengenainya,” kata Abraham.

Menurutnya, suruhanjaya itu mahu memberi tumpuan untuk menyelesaikan kes itu secepat mungkin dan tidak mahu mencetuskan masalah.

Dia juga berkata, proses penyelidikan untuk menahan Budi mengambil masa bukan kerana KPK takut untuk menyiasat kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Kebangsaan Jeneral Sutarman berkata, polis akan menyediakan bantuan guaman untuk membantu Budi selepas dia dinamakan suspek dalam satu kes rasuah.

Budi didakwa terbabit dalam kes rasuah ketika mengetuai biro perkembangan karier ibu pejabat polis dari tahun 2003 hingga 2006 dan ketika memegang beberapa jawatan lain.

Presiden Joko Widodo minggu lalu menamakan Budi sebagai bakal pengganti Sutarman yang dijadual bersara Oktober ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:05 AM