UBAH SUAI mengikut konsep ‘monster truck’.
Oleh Erywan Norshal


Nama Lim Seng Hai, 57, tidak asing lagi dalam sukan permotoran tempatan, lebih-lebih lagi selepas beliau terbabit dengan kejohanan rali pacuan empat roda (4X4) di negara ini.

Selain menjadi pemandu sukan permotoran lasak itu, beliau mempunyai hobi lain iaitu mengubah suai trak pikap selepas memiliki kedai aksesori kenderaan 4X4.

Toyota Hilux dalam ruangan minggu ini adalah satu daripada koleksi kenderaannya dengan dipenuhi pelbagai aksesori kenderaan 4X4 bernilai hampir RM60,000.

Trak pikap keluaran 2005 itu diubah suai dengan gaya model dipertingkatkan (facelift) keluaran 2014 supaya tampak lebih baru dan bergaya.

Lim berkata, konsep yang digunakan untuk mengubah suai jentera itu adalah ‘monster truck’ dengan menampilkan imej garang serta berani selepas ia ditinggikan sehingga enam inci.

“Bagi memberi impak gaya jentera ini, saya menukar bampar depan dan belakang menggunakan material besi jenama PK yang lebih tahan lasak.

“Beberapa produk jenama premium seperti Pro Comp turut digunakan seperti lampu pada bumbung dan penyerap hentak tambahan pada suspensi belakang,” katanya.

Beliau berkata, jentera itu menggunakan rim 16 inci dengan kelebaran 10 inci jenama Pro Comp bagi memberikan imej lebih maskulin.

Menurutnya, pengubahsuaian trak pikap itu lebih tertumpu kepada aksesori luaran saja, manakala dalaman dan enjin masih menggunakan yang asal.

“Biarpun tampak garang, jentera ini boleh dipandu untuk kegunaan harian atau melalui laluan lasak tanpa masalah kerana ia lebih tinggi berbanding varian biasa.

“Jentera ini juga pernah terbabit dengan misi banjir untuk memberi bantuan kepada mangsa bencana alam itu di Kelantan, baru-baru ini,” katanya.

INFO

- Kos: Hampir RM60,000

-Aksesori luaran:

* Bampar depan PK

* Bampar belakang PK

* Pemijak tepi PK

* Palang belakang

* Lampu tambahan Pro Comp

* Penyerap hentak tambahan Pro Comp

* Rim 15 inci Pro Comp

* Tayar Pro Comp

- Aksesori dalaman:

* Masih mengekalkan komponen asal

- Enjin: 2.5 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:00 AM