KEPUTIHAN menyebabkan rasa gatal, bengkak dan berbau hamis akibat jangkitan kulat dan bakteria.
WANITA perlu menjaga alat sulit lagi mengelak jangkitan kulat.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Hidayatulakmal@hmetro.com.my


Ramai menganggap bercerita mengenai masalah alat sulit kepada orang lain sebagai keadaan yang memalukan dan terlalu peribadi. Hakikat, ia dialami hampir semua orang tetapi disebabkan sifat tabu itu, kebanyakan kita hanya mendiamkan diri sehingga masalah berkenaan berlanjutan dan bertambah teruk.

Masalah keputihan adalah perkara yang tidak asing dalam kalangan wanita. Statistik menunjukkan hampir 75 peratus wanita yang berkahwin berdepan masalah keputihan disebabkan aktiviti seksual.

Kebanyakan wanita tidak mempunyai kesedaran terhadap risiko dan bahaya penyakit keputihan, malah menganggap ia sebagai petanda lazim sebelum kitar haid.

Setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lelehan lendir faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang serius dan memerlukan rawatan perubatan.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, keputihan ialah jangkitan kulat candida albicans yang sering berlaku kepada wanita. Bezanya hanya serius atau tidak.

“Dianggarkan dalam 10 wanita yang menjalani pemeriksaan, dua hingga tiga berisiko dijangkiti keputihan. Ia berlaku disebabkan bahagian alat sulit wanita sangat sensitif pada perubahan persekitaran seperti pemakanan, kitaran haid dan tahap kesihatan seseorang, yang kemudian mengubah kelembapan dan keasidan vagina.

“Meskipun secara sendiri jangkitan kulat tidak merbahaya, namun jika dibiarkan ia boleh mengundang jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan kerosakan saluran peranakan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Menurutnya, keputihan juga boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan wanita yang mengalaminya. Ia juga boleh menyebabkan radang dan rasa gatal.

“Keputihan biasa berlaku disebabkan jangkitan bakteria dan kulat. Keputihan disebabkan jangkitan bakteria akan berwarna kuning, berbau hamis dan gatal pada kemaluan.

“Keputihan disebabkan jangkitan kulat pula berwarna putih seperti susu basi atau keju cair. Ia juga boleh menyebabkan rasa gatal dan kemaluan akan membengkak serta menjadi merah,” katanya.

Dr Nurhazinat berkata, keputihan juga kerap berlaku kepada wanita hamil disebabkan perubahan fisiologi yang berlaku ketika hamil, di mana keadaan hormone estrogen yang tinggi dan kelembapan meningkat pada bahagian vagina menggalakkan pembiakan candida (kulat). Apabila melahirkan anak, biasanya masalah ini hilang sendiri.

“Secara umum, keputihan tidak menyebabkan masalah kesuburan. Namun begitu, jika seseorang wanita merancang mahu mendapatkan cahaya mata dan pada masa sama mengalami masalah keputihan yang serius, eloklah mendapatkan rawatan.

“Dikhuatiri keputihan yang banyak boleh mengganggu pergerakan sperma dari vagina memasuki rahim. Penyakit keputihan yang tidak dirawat akan menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan untuk bersama,” katanya.

Dr Nurhazinat berkata, bagi mengelak gejala ini, kebersihan adalah faktor terpenting yang perlu dititikberatkan. Elakkan penggunaan pencuci alat sulit wanita (feminine wash) ke dalam kemaluan. Namun jika hanya untuk mencuci di bahagian luar kemaluan tiada masalah.

Pasangan suami isteri pula digalak membersihkan alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan seks untuk kebersihan optimum jika tidak merancang menambah cahaya mata.

Cara mencegah penyakit keputihan

- Sentiasa memastikan bahagian faraj dalam keadaan bersih dan kering.

- Elakkan penggunaan pembersih faraj yang mengganggu kestabilan PH atau menyebabkan kegatalan.

- Sentiasa menukar atau mengganti tuala wanita ketika menstruasi (haid).

- Gunakan pelapik seluar dalam (panty liner) pada saat yang diperlukan saja. Elakkan juga pemakaian seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada satin.

- Jangan guna sebarang produk wangian seperti bedak atau ubat sembur pada bahagian faraj.

- Elakkan pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.

- Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

- Amalkan gaya hidup sihat dengan mengelakkan aktiviti seks rambang atau hubungan kelamin dengan lebih daripada seorang.

- Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj seperti kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.

- Basuh bahagian sulit dengan air bersih dan buang air kecil selepas aktiviti seks.

- Berjumpa pegawai perubatan dengan segera dan melakukan pemeriksaan vagina jika ada tanda yang dinyatakan di atas.

- Melakukan aktiviti yang menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan seperti melancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:01 AM