SEORANG peserta mempamerkan aksi lasak menuruni bukit.
AKSI lasak peserta kategori Turun Bukit.
LALUAN lecak yang terpaksa ditempuhi peserta.
GELAGAT peserta yang bergambar kenangan sebaik tamat perlumbaan.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Saingan peringkat akhir Kejohanan Turun Bukit dan Merentas Desa (XC) Mountain Bike Antarabangsa 2014 kali keenam yang diadakan di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang baru-baru ini, sungguh getir apabila peserta terpaksa berlumba dalam trek basah, berselut dan licin akibat hujan.

Biarpun terpaksa berlumba dengan lebih berhati-hati, 140 peserta yang menyertai kejohanan itu berjaya menamatkan perlumbaan biar pun pada awalnya tertangguh hampir 30 minit.

Malah, cabaran yang tersedia pada trek seperti laluan berliku, berpasir, cerun curam dan bongkah batu serta balak sedikit pun tidak melemahkan semangat peserta yang sanggup memikul basikal demi memastikan mereka berjaya menamatkan perlumbaan.

Kejohanan anjuran Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) serta Jabatan Belia dan Sukan negeri itu mempertandingkan lima kategori iaitu Elit, Terbuka, Masters A (30-39 tahun), Masters B (40 ke atas) dan Remaja (14-17 tahun) yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM20,000.

Menariknya, dalam perlumbaan ini, peserta dilepaskan seorang demi seorang bagi mengelak perlanggaran sesama mereka. Ternyata pengalaman berpihak kepada pelumba ABS KRT Pahang, Md Shahrulnizam Md Mokhtar, 43, apabila muncul juara kategori Master B dengan catatan masa dua minit 39.7 saat pada jarak 1.12 kilometer (km) mengetepikan saingan pelumba

Roots Rider, Mohd Ikram Shamsuddin dan pelumba Geja Matoba dikenali sebagai Uncle di tempat ketiga.

Md Shahrulnizam mengakui pada awalnya tidak yakin untuk menang berikutan keadaan trek yang licin, berselut dan basah akibat hujan.

“Saya tidak yakin memenangi perlumbaan kerana apabila trek basah, cabaran lebih sukar dan perlu berkayuh secara berhati-hati.

“Namun, tahun lalu saya pernah menghadapi keadaan serupa di cabaran ini. Dengan pengalaman yang ada, saya gunakan semula dan ternyata ia berhasil,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah oleh Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Idros Yahya.

Md Shahrulnizam berkata, kecekapan, kemahiran, ketahanan mental dan fizikal selain memahami selok-belok trek penting bagi setiap pelumba untuk memastikan kemenangan.

“Saya sudah biasa dengan trek ini dan dapat mengagak laluan berliku dan sukar, lantas memberi kesempatan untuk lebih bersedia ketika melaluinya.

“Bagi pelumba baru, mungkin ada yang terlajak dan gementar kerana bimbang berlaku kejadian tidak di­ingini, menyebab­kan mereka lebih berhati-hati,” katanya.

Kejayaan Md Shahrulnizam turut dikongsi anaknya Mohd Hafiz Daniel, 16, yang kali pertama bertanding dalam kategori Elit tetapi terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila tewas kepada pelumba Filipina, Jr Barba.

Mohd Hafiz Daniel juga anggota pasukan ABD KRT Pahang, mencatat masa dua minit 11.5 saat di belakang juara dengan masa 2:05.49 saat.

Ketika ditemui, pelajar Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) itu mengakui kecewa kerana awalnya yakin untuk menewaskan pencabar dari Filipina itu.

“Pedal basikal tercabut dan saya terpaksa meneruskan kayuhan dalam keadaan tidak selesa dan perasaan kecewa bermain di fikiran.

“Tahun depan saya mungkin melupakan sementara pertandingan ini kerana akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi pasti bergiat semula selepas itu,” katanya yang beralih ke kategori Elit selepas bersaing dalam Junior selama tiga tahun berturut-turut.

Juara kategori Terbuka pula dimenangi pelumba Indonesia, Ismail Nordin Anshari, 20, yang mencatat masa dua minit 11.01 saat, menewaskan Boolat dari Zerog Racing dengan catatan masa 2:19.76 saat dan Mokhtar Dahari dari team 07 yang mencatat 2:26.82 saat.

Ismail berkata, kemenangan itu di luar jangkaan kerana dia bermula perlahan berikutan tidak biasa dengan trek berkenaan.

“Ini kali pertama saya bertanding di sini dan tidak memahami keadaan trek sebenar tetapi saya tetap berusaha mencatat masa terpantas biarpun tahu terlalu banyak akar merintangi laluan.

“Namun, bagi saya trek ini bagus kerana banyak halangan perlu dilalui peserta dan ternyata ia benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal,” kata pelumba berasal dari Malang, Jawa Timur itu.

Sementara itu, bagi acara merentas desa (XC) yang berlangsung pada hari sama di Teluk Tongkang, tuah menyebelahi ahli Kelab Berbasikal SBS Giant Racing Team apabila lima daripada tujuh pelumba pasukan dari Gurun, Kedah itu menguasai acara berkenaan.

Pelumba kebangsaan, Muhamad Ayub Mohd Radzi, 22, muncul juara kategori terbuka dengan catatan masa terpantas 54 minit 15.6 saat pada jarak 16.4 km menewaskan dua rakan sepasukan, Muaz Abd Rahim, 25, di tangga kedua dan Ma Chaw Ying, 21, di tempat ketiga.

Bagi kategori Elit pula, juara dimenangi oleh Mohd Fauzan Latif, 28, yang mencatat masa sejam tujuh minit 13 saat pada jarak 20.5 km juga menewaskan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Rosli, 22, di tempat kedua dan Ma Chaw Ying di tempat ketiga.

Muhamad Ayub ketika ditemui berkata, pasukannya puas hati kerana perjalanan enam jam dari Gurun ke Kuantan berakhir dengan kejayaan di luar jangkaan.

“Kami benar-benar gembira dan teruja kerana berjaya meraih kemenangan dan segala penat lelah mengharungi perjalanan hampir 400 km tanpa mengira perbelanjaan dikeluarkan membuahkan hasil lumayan.

Muhamad Ayub yang kali pertama berlumba di Teluk Cempedak mengakui trek berkenaan sangat mencabar dari segi teknikal kerana peserta perlu melalui kawasan berpasir, berbukit, batu besar dan merentasi banir pokok yang melingkari kawasan litar.

“Trek ini paling mencabar berbanding yang lain di seluruh negara dan hanya mereka yang berhati kental boleh mengharunginya,” katanya yang terbabit dengan kejohanan berbasikal sejak berusia 15 tahun.

Sementara itu, Idros berkata, kejohanan berkenaan menjadi medan melahirkan lebih ramai pelumba basikal bukit dan XC berpotensi yang bakal mengukir nama di pentas antarabangsa pada masa depan.

Katanya, penyertaan pelumba luar negara juga membuktikan kejohanan berkenaan semakin mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa.

“Penyertaan mereka bersama pelumba kebangsaan dalam kejohanan ini memberikan ruang kepada pelumba muda untuk mencabar diri dan mempamerkan mutu persembahan mengkagumkan serta lebih mencabar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:02 AM