PORSCHE 911 Targa 4.
PORSCHE 911 Targa 4.
SPOILER yang boleh dilaraskan.
RIM dengan rekaan bergaya.
RUANG kabin tampak kemas dan tersusun.
PELBAGAI butang pada konsul tengah yang mudah dicapai.
Oleh Erywan Norshal


Kereta berprestasi keluaran Jerman, Porsche mengembangkan lagi keluarga 911 dengan memperkenalkan generasi terbarunya menerusi Targa yang dijangka hadir di Malaysia tahun ini.

Sejak diperkenalkan pada 1965, model Targa boleh dianggap berjaya kerana ia meliputi 13 peratus penjualan keluarga Porsche 911 yang mencecah melebihi 853,000 unit pengeluarannya.

Apa membezakan dengan keluarga Porsche 911 yang lain, Targa adalah kenderaan tanpa bumbung dan nama itu diambil daripada perlumbaan jalanan popular iaitu Targa Florio.

Bagi model generasi terbaru itu, ia masih mewarisi genetik Targa terdahulu, cuma bumbungnya boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menekan butang.

Bagi mengenali jentera ini dengan lebih dekat, Sime Darby Auto Performance (SDAP) selaku pengimport sah kenderaan Porsche di Malaysia menjemput penulis memandu Porsche 911 Targa 4 di Singapura, baru-baru ini.

Pandu uji itu boleh dikatakan sedikit unik kerana hanya dua media dijemput untuk memandu di pulau berkenaan berpandukan peta serta navigasi disediakan.

Biarpun jarak pemandu itu tidak terlalu jauh, ia cukup untuk memberi pengenalan dan maklumat asas bagi Porsche 911 Targa 4.

Jentera pandu uji itu menggunakan enjin 3.4 liter, yang mana ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 350 kuasa kuda.

Kuasa hebat itu tidak boleh diuji sepenuhnya kerana laluan digunakan adalah lebuh raya, selain perlu mematuhi had laju di negara berkenaan.

Namun, sempat juga penulis menekan pedal minyaknya dan ternyata ia sangat mantap, lebih-lebih lagi apabila menekan butang mod Sport Plus.

Mod itu akan menala semula sistem enjin dan transmisi supaya lebih agresif dengan menyalurkan prestasi maksimum.

Satu lagi ciri unik pada jentera itu adalah Sistem Ekzos Sport. Selepas menekan butang sistem itu di bahagian konsol tengahnya, ekzosnya menyalurkan bunyi garang daripada peredam berkembarnya.

Berdasarkan spesifikasi diberi, jentera itu dikatakan boleh dipandu sehingga 282 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil 4.8 saat untuk memecut antara 0-100 km/j.

Ia juga digabungkan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan Porsche Doppelkupplung (PDK) yang mana pertukaran gearnya berlaku dengan cepat untuk mengikut kesesuaian kelajuan, selain boleh digunakan secara manual.

Sepanjang sesi pandu uji itu, Porscher 911 Targa 4 mempunyai lebih ‘gaya’ berbanding barisan kenderaan 911 lain berikutan bahagian bumbung yang boleh dibuka, panel kaca belakang serta tiang tengah aluminium.

Biarpun aluminium, ia sebenarnya lebih kukuh kerana pada bahagian dalamnya ada kerangka besi penguat.

Berikutan memandu cuaca panas di negara berkenaan, mungkin janggal jika penulis dan rakan media lain membuka bumbung itu.

Namun, ia boleh dibuka dan disimpan kemas dalam ruang penyimpanan bahagian belakang secara elektronik dalam 19 saat dan hanya boleh dilakukan ketika kereta berhenti.

Sementara itu, bahagian kabin masih menawarkan keselesaan, selain reka bentuk pada konsul tengah dan papan pemuka tampak kemas serta teratur.

Jentera dua tempat duduk itu menggunakan kerusi ala ‘bucket’, tetapi ia memberi sokongan dan keselesaan untuk memberi sokongan optimum dalam setiap pemanduan.

Ia juga boleh diubah dengan menggunakan butang elektronik yang mempunyai 14 pelarasan, sekali gus selesa untuk pemanduan jarak jauh.

Ternyata pemanduan hampir lima jam mengelilingi pulau itu tidak terlalu membosankan selepas memandu jentera berprestasi yang bakal dibawa masuk ke negara ini.

(Penulis mengikuti pandu uji Porsche 911 Targa 4 di Singapura, baru-baru ini)

INFO

PORSCHE 911 TARGA 4

- ENJIN: 3,436cc, enam silinder sebaris, penyejukan cecair, VarioCam Plus

- KUASA MAKSIMUM: 350hp pada 7,400rpm

- TORK MAKSIMUM: 390Nm pada 5,600rpm

- TRANSMISI: Automatik tujuh kelajuan PDK

- PECUTAN 0-100 km/j: 4.8 saat

- KELAJUAN MAKSIMUM: 282 km/j

- KAPASITI BAHAN API: 68 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:03 AM