Oleh Ardini Sophia Sina


Program pencarian bakat seperti Akademi Fantasia menjadi platform untuk mengukir nama dalam dunia seni. Dua peserta AF2014, Ewal dan Ziha kini perlu bekerja keras untuk meneruskan perjuangan selepas program berakhir awal November lalu.

Ewal mungkin tidak terlalu merasai cabarannya kerana sudah dikenali. Anak muda yang dulunya menggunakan nama Ikhwal mula menceburi bidang seni sejak usia empat tahun.

Dikurniakan vokal mantap dan lincah di pentas, dia terus berusaha mencari ruang mengejar populariti dalam industri seni.

Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail, 23, akui perjalanan seninya makin selesa sejak keluar AF dan yakin menuju destinasi diimpikan.

Dia juga menganggap penyertaannya dalam AF 2014 umpama kelahiran semula. Enggan menoleh ke belakang, jejaka itu terus menggunakan peluang yang ada untuk lebih dikenali.

Katanya, dia kini masih dalam rangka mempromosi lagu Kembalikan Semula yang dipertaruhkan di pentas akhir AF2014.

Ewal sedar lagu itu belum mampu mengangkat namanya pada kedudukan lebih tinggi tetapi tetap positif dan tidak kecewa walaupun terpaksa merangkak untuk mencapai impiannya.

“Bagi saya lebih baik lambat naik, tidaklah terkena kejutan budaya apabila mendapat perhatian secara mendadak. Ia juga mengajar saya cara untuk terus bertahan dalam industri,” katanya.

Ewal menafikan ada masalah dengan lagu dan cara nyanyiannya. Katanya, ia hanya tanggapan masyarakat yang mengandaikan lagu itu tidak sesuai dengan vokalnya.

“Itu persepsi masing-masing dan mungkin belum rezeki saya untuk meletup hanya dengan lagu itu. Secara peribadi, kalau lagu yang kita rasa tidak sedap pun kalau sering dimainkan di radio, lama-kelamaan akan kedengaran ‘best’ juga. Saya tidak hanya katakan untuk lagu saya, tetapi secara keseluruhan,” katanya.

Ewal yang kini diuruskan oleh Astro Talent merancang menghasilkan lagu kedua, pertengahan tahun ini.

Mengenai ura-ura menggandingkan dirinya dengan Nuha sebelum ini, kata Ewal, dia tidak menolak andai projek itu dijalankan tetapi buat masa ini tidak dapat memberi lebih banyak maklumat mengenainya.

“Setakat ini belum ada khabar lagi mengenai Projek Nuwal kerana semuanya akan ditentukan Astro Talent. Saya tidak ada masalah berduet dengan Nuha sebagaimana dicadangkan,” katanya.

Ewal juga mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan tetapi menegaskan, nyanyian masih keutamaannya buat masa ini. Katanya, setakat berlakon masih dapat dipertimbangkan tetapi belum ada perancangan untuk menjadi pengacara.

“Bagi saya, bidang pengacaraan susah dan saya belum berani terima tawaran, berbeza dengan lakonan kerana ia juga menjadi pendedahan kepada saya untuk lebih dikenali.

“Ketika masih bergelar pelajar AF 2014 pun, kami bukan hanya diajar menyanyi tetapi juga berlakon. Saya tidak mengehadkan bidang hanya pada nyanyian. Saya juga tidak ada masalah untuk berlakon,” katanya.

Langkah Ziha untuk menempah nama dalam dunia seni mungkin lebih berliku dan perlukan kerja lebih keras kerana dia bukan juara, apatah lagi berada dalam lima terbaik. Tambah pula dia pernah dikritik juri yang mengatakan dia tidak mempunyai jiwa ketika menyanyi.

Ziha atau Nor Aziha Md Salleh yang menjadi perhatian kerana wajah seiras pelakon Yana Samsudin turut mencuba bidang lakonan sama seperti rakan lain.

Katanya, baru sekarang dia memahami erti sebenar jiwa yang dimaksudkan dan akui lambat menyerap ilmu diberi tenaga pengajar ketika di AF2014.

“Saya lebih selesa berlakon kerana lebih banyak ruang. Buat masa ini saya berlakon dalam drama Dee The Series dan juga drama rantaian Isteri Separuh Masa.

“Walaupun masih baru, saya terharu kerana diberi kepercayaan menjadi teraju utama dalam telefilem Hantu Mertuaku arahan Zulkifli M Osman.

“Apabila ditawarkan menjadi pelakon utama, saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika itu. Gementar, takut, bimbang, gembira dan teruja, semua saya rasa. Apatah lagi apabila mengetahui saya akan berganding dengan Fizz Fairuz,” katanya.

Ziha bersyukur walaupun masih baru dalam industri, mereka memberi kepercayaan menjadi teraju utama dan mendapat tunjuk ajar dari Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang datang menemani suaminya di lokasi.

“Walaupun lambat merasai jiwa dalam nyanyian, sekurang-kurangnya saya dapat merasai perkara itu dan kini digunakan dalam lakonan,” katanya.

Kata Ziha, dia berminat berlakon dalam Dee The Series kerana ia berkaitan muzik. Selain menimba ilmu berlakon, Ziha berpeluang belajar asas bermain biola mengikut wataknya.

Ziha tidak kisah berlakon dan menyanyi kerana tidak mahu menolak rezeki yang datang. Katanya, sebagai orang baru, dia tidak boleh terlalu memilih.

“Rasanya tidak salah untuk mencuba sebab nyanyian dan lakonan juga cabang seni. Bukan tidak mempunyai hala tuju tetapi sebagai anak seni, saya juga mahu melihat bakat yang dimiliki.

“Andai ada ruang menjadi pengacara, saya akan cuba pelbagaikan kebolehan yang ada. Apa saja tawaran yang datang, itu adalah rezeki. Saya masih baru dan perlu pendedahan,” katanya.

Mengenai cabaran baru dihadapi apabila dirinya mula dikenali, Ziha akui pada mulanya rasa menjengkelkan namun atas nasihat Amy Mastura yang turut berlakon dalam Dee The Series, dia tidak lagi ambil peduli situasi itu.

“Sekarang mereka ingin ambil tahu perkembangan diri saya hingga membuatkan rasa kurang selesa kerana sebelum ini saya tidak pernah mendapat perhatian seperti itu.

“Kak Amy banyak memberi nasihat serta cara menangani keadaan itu. Saya ikut saranan untuk abaikan segala komen negatif dan tidak mahu serabutkan fikiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM