Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Pernahkan tangan anda berasa kebas, jari tidak boleh dibengkokkan atau ditegakkan semula dan pergelangan tangan berasa tegang selepas melakukan pekerjaan seperti menaip tanpa henti?

Jika ia berlaku, kita perlu lebih berwaspada dengan cara kerja yang diamalkan saban hari. Walaupun itu antara masalah biasa, ia tidak boleh diabaikan.

Ini kerana fungsi ­tangan yang pelbagai itu memudahkan kita untuk melakukan semua tugasan dengan sempurna bermula dengan menyiapkan tugasan di pejabat, mengemas rumah, memasak, makan, menaip hinggalah melakukan perkara yang lebih kecil.

Menurut Pakar Perunding Tangan dan Pembedahan Mikro Pusat Perubatan Tropicana Dr Terence Tay Khai Wei, terdapat beberapa masalah tangan yang berlaku dalam kalangan orang dewasa mahupun kanak-kanak.

"Antara masalah yang biasa berlaku dan mudah ditemui ialah 'trigger finger', sindrom 'carpel tunnel' dan 'mallet finger'. Sebanyak 30 hingga 40 peratus pesakit dikesan menghadapi 'trigger finger' dalam kalangan individu yang mengalami masalah tangan," katanya.

Sindrom 'carpel tunnel'

"Cawan yang dipegang jatuh atau bayi terlepas daripada pegangan boleh berlaku jika sindrom 'carpel tunnel' atau dikenali sebagai sindrom terowong karpus dihidapi pada tahap serius.

"Sindrom ini berlaku disebabkan saraf median (penyedia utama sensasi atau deria ke tangan dan jari) termampat di dalam terowong bahagian pergelangan tangan (karpal)," katanya.

Ujarnya, terowong karpal dibentuk oleh lapan tulang pergelangan tangan dan ligamen karpal yang melintang. Terowong bertindak sebagai laluan saraf median dan sembilan tendon daripada pergelangan tangan.

Pemampatan saraf median yang berlaku disebab­kan penyempitan ruang di dalam terowong mungkin disebabkan oleh beberapa keadaan seperti bengkak pada lapisan tisu terowong, penahanan cecair, kehadiran sista ganglion dan struktur otot yang tidak normal.

Dalam kebanyakan kes, puncanya tidak diketahui dan kebiasaannya ia berlaku di jari telunjuk dan jari tengah. Apabila sindrom ini terjadi, biasanya pesakit akan merasai tangannya seperti 'tidur', lembik dan kebas pada jari.

"Sindrom ini biasa berlaku pada waktu malam ketika tidur, namun masalah yang serius akan menyebabkan rasa kebas setiap masa. Masalah ini mudah menyerang wanita hamil, pesakit diabetes dan artritis reumatoid yang puncanya masih tidak dapat diketahui.

"Namun, sindrom ini juga boleh menyerang generasi muda terutama jika mereka sentiasa menaip komputer tanpa henti hingga lapan jam atau lebih setiap hari.

"Ketika menaip, bahagian pergelangan tangan akan menekan saraf median. Pada mulanya, mereka akan berasa sakit, kebas dan tidak sensitif di bahagian jari," katanya.

Dr Tay menasihatkan individu yang banyak menghabiskan masa dengan menaip perlu menjaga keadaan kesihatan tangan mereka.

Setiap 15 hingga 20 minit ketika menaip, berhenti dan lakukan regangan mudah untuk mengurangkan ketegangan yang berlaku di sekitar pergelangan tangan dan jari.

Selain itu, gunakan pelapik atau kusyen di bawah bahagian pergelangan tangan untuk mengelakkan saraf median tertekan sekali gus menyebabkan rasa sakit atau kebas.

Jika simptom baru bermula, kita mungkin akan terbangun daripada tidur dengan rasa kebas atau sakit dan ia akan beransur lega apabila cuba menggoncang atau menggosok tangan.

Pada peringkat seterusnya, rasa kebas itu boleh menjadi berlarutan jika tidak mendapat rawatan segera. Dalam kebanyakan kes, rawatan akan dimulakan dengan pendekatan tanpa pembedahan yang boleh membantu mengurangkan gejala yang dihidapi.

Kebanyakan pesakit mula berasa lega pada bahagian tangan yang sakit dengan mengubah aktiviti yang dijalankan bagi mengurangkan tekanan di dalam terowong karpal atau mengenakan penganduh.

Selain itu, suntikan steroid juga boleh digunakan untuk melegakan kebas atau kesakitan yang dialami. Mengambil ubat seperti vitamin B12 atau ubat nonsteroidal antiradang boleh digunakan bagi sesetengah pesakit untuk melegakan kesakitan.

Jika kaedah tanpa pembedahan tidak berjaya, pembedahan mungkin disarankan untuk membantu mengurangkan tekanan di dalam terowong karpal dan kemampatan saraf median.

"Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal. Kajian aliran saraf dan elektromiografi boleh digunakan untuk memeriksa dan menilai tahap keseriusan masalah," katanya.

Trigger finger

'Trigger finger' adalah satu keadaan apabila jari tersangkut semasa di posisi bengkok. Ia akan mengeluarkan bunyi (snap) semasa diluruskan.

Dalam keadaan teruk, jari mungkin akan tersangkut dan kekal dalam keadaan bengkok. Ia memerlukan bantuan jari lain untuk diluruskan dan disusuli dengan sakit yang teruk.

Jari pencetus (trigger finger) atau tenosinovitis ialah keradangan pada bahagian tendon. Tendon flexor ialah sambungan terminal pada otot lengan.

Tendon melalui pergelangan tangan dan masuk ke tulang jari untuk menghasilkan fleksi atau pembengkokan. Tendon mudah meluncur dengan lancar di dalam terowong sempit (takal) dan kadangkala ia juga boleh terperangkap.

Fungsi takal ialah untuk mengekalkan tendon di dalam terowong. Namun, kadangkala tendon boleh membengkak dan mudah tersekat di dalam terowong.

"Masalah ini biasa ditemui dalam kalangan pesakit diabetes, osteoartritis, diabetes, atritis reumatoid dan gout tetapi puncanya masih belum diketahui.

"Ia juga boleh berlaku kepada sesiapa saja sama ada golongan dewasa atau warga emas, namun banyak ditemui dalam kalangan individu berusia 40 tahun ke atas," katanya.

Pada mulanya, pesakit berasa sakit pada tapak tangan dan kadangkala simpulan serta bengkak kecil juga boleh dirasai. Ia boleh berlaku pada lebih daripada satu jari dan biasa berlaku di bahagian ibu jari, jari tengah, jari manis dan jari telunjuk.

Gejala ini boleh membuatkan rasa sakit di hujung jari pada tapak tangan dan kes lebih teruk apabila jari yang tersekat ketika bengkok dan tidak boleh diluruskan.

Lebih serius apabila berasa sukar untuk menggerakkan atau menggenggam jari terutama pada waktu pagi. Rawatan 'trigger finger' bergantung kepada gejala yang dialami pesakit.

Pada peringkat awal, ia boleh dirawat secara konservatif dengan ubat antiradang dan memakai penganduh, fisioterapi, latihan senaman jari, merendamkan jari didalam air suam atau urutan.

'Trigger finger' satu keadaan yang tidak bahaya. Pembedahan kecil akan dilakukan bergantung kepada keputusan pesakit ini yang selalunya disyorkan pada peringkat akhir.

Pembedahan dilakukan bagi membantu membuka saluran tendon yang sempit itu supaya tendon dapat bergerak dengan mudah.

Mallet finger

'Mallet finger' ialah kecacatan yang berlaku di bahagian hujung jari yang menyebabkan ketidakupayaan untuk meluruskan hujung jari secara sepenuhnya.

Kecacatan ini disebabkan oleh tendon yang berfungsi untuk melurus atau memanjangkan bahagian hujung sendi jari tercedera. Bagi sesetengah pesakit, kecacatan disebabkan tendon hujung jari terputus atau keadaan tulang melekat pecah, yang disebut sebagai patah avulsi (istilah lain untuk kecederaan patah tulang adalah 'bony mallet').

Ini adalah kecederaan yang sangat umum selepas trauma ringan pada hujung jari atau akibat pembengkokan secara paksa pada mana-mana bahagian jari.

Ia boleh berlaku ketika melakukan tugas yang mudah atau daripada trauma secara langsung seperti terkena bola pada bahagian hujung jari semasa bermain bola keranjang.

Kebiasaannya, pesakit menyedari kecacatan tersebut selepas mengalami trauma dan dalam beberapa kes, kecacatan itu juga boleh dilihat tanpa menyedari sebarang trauma yang berlaku.

Jari mallet dikesan melalui pemeriksaan klinikal oleh pakar bedah tangan dan beberapa gambar sinaran-X yang penting untuk mengesahkan kehadiran kepatahan avulsi.

Dalam kebanyakan kes, rawatan untuk jari mallet terdiri daripada memakai penganduh secara berterusan pada hujung jari. Beberapa jenis penganduh direka untuk tujuan ini dan matlamatnya untuk mengekalkan sendi dalam kedudukan yang lurus sehingga tendon menjadi sembuh.

Penganduh diperlukan tanpa mengira siang dan malam manakala purata masa rawatan antara tiga hingga empat bulan. Penganduh boleh diletakkan di bahagian atas atau bawah jari yang bermasalah.

Apabila sinaran-X menunjukkan kepatahan avulsi dengan dislokasi sendi, pembedahan biasanya diperlukan. Namun, pin dan kabel yang kebiasaannya digunakan untuk memperbetulkan kecacatan memang diperlukan.

Selepas tendon sembuh, pergerakan aktif akan dimulakan dan jika perlu, pakar bedah tangan mungkin mencadangkan terapi fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:01 AM