WEE Wern berdepan laluan sukar.
WEE Wern berdepan laluan sukar.

Kuala Lumpur: Bukan perlawanan mudah. Itulah pengakuan pemain skuasy negara, Low Wee Wern menjelang pusingan pertama Kejohanan Juara-Juara JP Morgan 2015 menentang Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, walaupun berdepan tugas berat bertemu Amanda, tetapi sebagai pemain profesional dia tetap meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

“Saya mendapat undian yang sukar bertemu pemain nombor satu AS. Bagaimanapun saya pernah menumpaskannya sebelum ini,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Wee Wern mengalahkan Amanda pada Terbuka AS 2013 dan berpeluang melakukan perkara sama kali ini.

“Dia seorang pemain yang hebat dan mampu mengawal rentak permainan dengan baik. Apa yang perlu saya lakukan ialah menghalangnya untuk ke depan dan mengawal ketat pergerakannya.

“Sasaran ke suku akhir bukan saja ditumpukan pada kejohanan ini, tapi kejohanan lain yang akan saya sertai sepanjang tahun ini,” katanya.

Tahun lalu, Wee Wern berjaya melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pemain tuan rumah, Latasha Khan 11-6, 11-7, 11-5 pada pusingan pertama.

Bagaimanapun dia kalah kepada rakan senegara, Datuk Nicol David pada suku akhir 5-11, 3-11, 9-11.

Nicol muncul juara selepas mengalahkan pemain England, Laura Massaro dan kali ini pemain nombor satu dunia itu akan bertemu Rachel Grinham dari Australia pada pusingan pertama, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:42 AM