PASUKAN hoki negara giat berlatih sebelum menghadapi Oman.
PASUKAN hoki negara giat berlatih sebelum menghadapi Oman.

Kuala Lumpur: Kemenangan besar 5-1 ke atas Ukraine pada perlawanan pertama Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia kelmarin masih belum dapat memuaskan hati pengendali sementara skuad hoki negara Tai Beng Hai.

Sebaliknya, beliau mahu anak buahnya memperbaiki kesilapan mudah yang dilakukan ketika bertemu Ukraine serta memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol apabila bertemu Oman pada perlawanan kedua peringkat kumpulan hari ini di Stadium Hoki Sengkang, Singapura.

“Pusingan kedua ini sebahagian laluan kami untuk ke Sukan Olimpik Rio 2016. Untuk itu, kami perlu bermula cemerlang kerana jangkaan terhadap pasukan negara begitu tinggi.

“Sebab itu kami tidak boleh pandang mudah cabaran pasukan yang mempunyai ranking lebih rendah seperti Oman.

“Apapun setiap pemain harus memberikan fokus sepenuhnya pada setiap perlawanan,” katanya.

Sementara itu, penyerang skuad negara Muhammad Firhan Ashaari yang gagal menjaringkan gol ketika bertemu Ukraine kelmarin, bertekad mempamerkan aksi cemerlang apabila bertemu Oman, hari ini.

“Sudah tentu sebagai seorang penyerang, saya mahu menjaringkan gol dan pada masa sama dapat membantu pasukan.

“Saya harap ia dapat dilakukan menentang Oman," katanya yang kali terakhir meledak gol untuk skuad negara pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:53 AM