Saiful dipangku ahli keluarganya selepas kemalangan di Jalan Tahana, Tampoi, kelmarin.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang pekerja kilang terbunuh selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Tahana, Tampoi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, mangsa Saiful Nizam Sukaji, 20-an, meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai turut terseret sebelum dilanggar kereta dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di Kawasan Perindustrian Tampoi dipercayai terseret sebelum dilanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa yang berasal dari Kampung Tahana parah di kepala dan badan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:06 AM