X

Honolulu, AS: Juara bertahan Jimmy Walker membenam 10 birdie sebelum mencatat lapan bawah par 62 untuk mendahului dengan dua pukulan pada kejohanan Terbuka Sony dalam Jelajah PGA AS, semalam.

Walker yang dikejutkan Patrick Reed pada penentuan play-off Kejohanan Juara-Juara di Kapalua minggu lalu, membuktikan dia sudah melupakan kekecewaan itu.

Dia hanya melakukan satu putt pada setiap 11 lubang terakhir pada pusingan ketiga dan jumlah keseluruhan 16 bawah par 194 membantunya mendahului dua pukulan di depan rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Matt Kuchar.

Kuchar, seorang daripada trio yang berkongsi sebagai pendahulu, merakam dua bawah par 68 bagi 196.

Walker mengakui agak tertekan selepas kecundang di Kapalua, Isnin lalu.

“Tapi saya sudah melupakannya,” ujarnya. “Ini permainan golf dan anda perlu melupakannya kerana perlu bermain pada hari berikutnya.

“Bagus juga tidak banyak jurang masa antara kejohanan,” kata Walker yang bangkit daripada bogey pada lubang kedua dengan empat birdie pada sembilan lubang pertama.

Sembilan lubang keduanya termasuk enam lagi birdie dengan hanya satu bogey pada lubang ke-17 par-tiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:41 AM