MOHD Isa (bertali leher) turut serta memusnahkan rokok putih dan kretek tidak sah.
Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Dengkil: Sebanyak 46.31 juta batang rokok putih dan kretek tidak sah membabitkan berat 69,472.50 kilogram (kg) mula dimusnahkan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Penguatkuasaan dan Rampasan Ibu Pejabat Dengkil, di sini.

Semua rokok yang dimusnahkan itu bernilai RM5.07 juta dan membabitkan cukai sebanyak RM18.76 juta.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Mohd Isa Endot berkata, rokok yang dimusnahkan hari ini membabitkan 12 kes atau kertas siasatan yang sudah selesai bagi tempoh tiga tahun hingga tahun lalu.

"Proses pelupusan atau pemusnahan ini perlu mendapat kelulusan dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Kastam dan Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

"Kaedah pemusnahan yang diluluskan adalah cara dirincih (shredding) dengan mesin dilaksanakan oleh syarikat kontraktor yang dilantik.

"Sisa rincihan tembakau termasuk kotak pembungkus akan dilupuskan di tempat pelupusan yang dibenarkan saja atau dikawal pihak kastam untuk memastikan syarat dan prosidur pelupusan dipatuhi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 September 2014 @ 9:29 PM