JAMALUDDIN melihat sayur sawi di bawah bangunan SPH.
JAMALUDDIN melihat sayur sawi di bawah bangunan SPH.
KAEDAH fertigasi menghasilkan sayuran yang segar dan selamat.
KAEDAH fertigasi menghasilkan sayuran yang segar dan selamat.
DUA pekerja Jamaluddin sedia untuk membawa hasil ladang ke luar.
DUA pekerja Jamaluddin sedia untuk membawa hasil ladang ke luar.
Oleh Mohd Amin Jalil

Teknologi penanaman menggunakan kaedah fertigasi adalah kaedah penanaman tanpa tanah dengan pemberian baja melalui sistem pengairan. Ia bukan baru bagi petani tempatan.

Kelebihan sistem ini menjamin kebersihan dan menghindar penyakit, mengatasi masalah tanah, meningkatkan hasil pengeluaran, masalah rumpai sangat rendah, kualiti hasil yang baik dan nutrien lengkap dikawal mengikut pertumbuhan pokok.

Kelebihan itu menyebabkan teknologi berkenaan mendapat sambutan berikutan mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.

Selain mudah dan cepat, kaedah itu tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi medium.

Melihat fertigasi sebagai kaedah yang mampu memberi keuntungan mendorong bekas seorang perunding arkitek dan kejuruteraan, Jamaluddin Salleh, 50, menceburi tanaman itu.

Tekadnya mengambil risiko bagi mendapatkan hasil berkualiti serta menjadikan pertanian sebagai kerjaya.

Biarpun sudah beroleh pendapatan yang memuaskan dalam kerjayanya sebelum ini, kekangan tertentu dan kepuasan diri mendorong dirinya terbabit secara sepenuh masa dalam projek baru itu.

Projek itu diusahakan di kawasan seluas enam hektar di Kampung Mayor, Jalan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut anak kelahiran Muar, Johor ini yang kini menetap di Seremban, dia memulakan projek pertanian menggunakan kaedah fertigasi itu pada awal 2012 dengan menggunakan modal asas RM130,000.

Katanya, potensi besar dalam sektor pertanian mendorongnya membabitkan diri dalam bidang berkenaan.

"Sebahagian daripada kawasan tanaman itu tanah terbiar yang disewa daripada seorang pemilik, manakala sebahagian lain milik sendiri.

"Ketiadaan pengalaman dalam bidang ini bukan halangan seseorang untuk membabitkan diri secara serius dalam bidang pertanian dan ia terbukti apabila projek yang saya jalankan nyata membuahkan hasil memuaskan," katanya.

Melalui sistem fertigasi, dia berjaya mengeluarkan kira-kira 700 kilogram sayuran sehari membabitkan timun, sawi, cili, terung, peria dan peria katak serta petola.

Jamaluddin berkata, sistem fertigasi adalah kaedah terbaik, selain mudah untuk diuruskan dengan proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman.

Mengulas lanjut, dia yang memiliki enam anak berusia antara tujuh hingga 19 tahun berkata, fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Menurutnya, secara umum hanya beberapa jenis tanaman yang sesuai ditanam menggunakan kaedah ini antaranya tomato, cili, timun, terung, petola, peria, melon dan strawberi.

"Dengan menggunakan kaedah fertigasi, kita boleh mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah.

"Selain itu, tanaman berkenaan dapat ditanam di mana-mana saja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg," katanya.

Katanya, kaedah titisan digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

"Air dan larutan baja diberikan secara berkala setiap hari di mana larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman," katanya.

Menurutnya lagi, teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah disebabkan percikan hujan.

Katanya, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan banyak membantu dari segi baja, racun serangga dan SPH, selain khidmat nasihat.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan pula membantu dari segi pemasaran hasil ladang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:01 AM