Kuala Lumpur: HSBC Bank (HSBC) melihat pelaksanaan menstruktur semula Belanjawan 2015 menunjukkan komitmen kerajaan yang mempunyai ruang untuk mengurangkan perbelanjaan operasi, seterusnya tidak memberi tekanan kepada sasaran defisit sebanyak tiga peratus pada tahun ini.

Tahun ini, kerajaan menyasarkan pengurangan defisit kepada tiga peratus berbanding jangkaan 3.5 peratus tahun lalu dan sebelum ini dilaporkan terdapat pakar ekonomi menjangkakan sekiranya kerajaan membuat penambahan bajet dalam tahun ini, ia memberi kesan kepada pencapaian sasaran defisit berkenaan.

Pakar Ekonomi Asia Tenggaranya Lim Su Sian berkata, ekonomi dijangka bersifat mendatar tahun ini, namun perbelanjaan domestik kukuh berbanding negara Asia yang lain walaupun terdapat kemungkinan penguncupan dalam eksport.

Beliau berkata, ekonomi negara akan terus mapan dengan rizab asing masih dalam keadaan positif bagi menampung situasi luar kawalan dalam tempoh jangka masa pendek.

“Ringgit dijangka terus kekal lemah berbanding Dolar Amerika berikutan pengukuhan mata wang asing itu, kemerosotan harga komoditi dan polisi monetari yang bakal dilaksanakan oleh Bank of Japan dan Bank Pusat Eropah. Tahun ini ringgit dijangka berada pada tahap RM3.57 berbanding Dolar.

“Tahun depan, ringgit dijangka lebih rendah daripada unjuran tahun ini berikutan Dolar yang terus meningkat ketika keadaan ekonomi dunia tidak menentu,” katanya pada taklimat media mengenai unjuran ekonomi Asia 2015 di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:25 AM