Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Permaisuri: Seorang pemandu lori ikan maut manakala kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas di Kilometer 35.9 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Lembah Bidong, dekat sini, 3.10 pagi tadi.

Kejadian berlaku apabila lori membawa muatan ikan dari Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Terengganu terbabas ke kanan jalan lalu merempuh pokok ru.

Akibat kejadian itu, pemandu, Mohd Azrul Hisham, 32, yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan, Mohd Azuhar Mohd Rosli, 23, cedera.

Insiden itu menyebabkan muatan ikan yang dibawa bertaburan di atas jalan dan kelindan membenarkan orang ramai mengambil ikan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 1:19 PM