LUBANG pembentung najis yang dipercayai lokasi mangsa terjatuh.

MARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun maut selepas terjatuh dalam lubang pembetung kumbahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pei Min Sri Jaya, dekat sini, hari ini.

Mayat kanak-kanak malang itu, Law Bin Jian, ditemui ibunya di dalam pembetung kumbahan sedalam 2.4 meter itu selepas sejam disedari hilang.

Menurut kakitangan am sekolah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ida, kanak-kanak itu disedari hilang oleh ibunya dikenali sebagai Ling Zhu, 40-an, yang bekerja di kantin sekolah itu, 9.30 pagi tadi.

Beberapa pekerja kantin dan guru segera membantu mencari mangsa sebaik disedari hilang oleh ibunya, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya selepas hampir satu jam mencari kanak-kanak itu, ibu mangsa ternampak selipar dipakai anaknya terapung di permukaan air kumbahan dalam pembetung itu.

"Ibu mangsa kemudiannya bertindak turun ke dalam pembetung dan menyelam untuk mengangkat jasad anaknya itu," katanya.

Bapa kanak-kanak itu, Law Ching Fuei, 41, yang bekerja di sebuah kilang di kawasan berdekatan berkata, Bin Jian dibawa ke Klinik Kesihatan Maran dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran ACP Abd Razak Abd Majid mengesahkan kejadian itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 10:50 PM