Kuala Lumpur: Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia melihat pembentangan penstrukturan semula Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri, semalam terus menyumbang kepada kelangsungan ekonomi dalam kalangan usahawan di negara ini terutama bagi golongan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata pengumuman beberapa inisiatif membabitkan PKS melalui pembentangan itu amat dialu-alukan golongan terbabit dan ia memang diperlukan memandangkan produk Malaysia bersifat kompetitif dan memiliki potensi pasaran di pasaran antarabangsa.

“Dalam situasi mata wang ringgit yang rendah pada ketika ini, ia adalah perkara terbaik kerana memberi lebih banyak peluang kepada usahawan PKS tempatan untuk memasarkan produk ke luar negara,” katanya pada Bisnes Metro, semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan pelan komprehensif dan kondusif dalam pelaksanaan inisiatif terbabit bagi memastikan usaha untuk membantu golongan PKS menerokai pasaran luar negara lebih pantas dilaksanakan.

“Saya berharap pelaksanaan beberapa inisiatif ini membantu golongan PKS supaya terus tekun dan komited menjalankan perniagaan dan dalam masa sama, sentiasa bersiap sedia dan memperkenalkan inovasi dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:39 AM