Putrajaya: Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyemak semula penstrukturan kewangan negara sekiranya harga minyak mentah dunia menjunam ke paras lebih rendah daripada AS$40 (RM144).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, buat masa ini, kerajaan mengganggarkan purata harga minyak bagi tahun ini adalah sekitar AS$40 (RM144) hingga AS$70 (RRM252) setong.

Malah, penetapan unjuran paras harga minyak kepada AS$55 (RM198) setong bagi tahun ini dilihat sangat munasabah dan realistik serta sesuai dengan landskap ekonomi semasa.

“Jika harga minyak turun kepada harga purata yang diunjurkan itu maka, kerajaan tiada masalah untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya pada sesi dialog ‘Penjelasan Lanjut Mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara’ di sini semalam.

Panel lain yang mengambil bahagian pada dialog berkenaan termasuk Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Ditanya mengenai pengurangan agihan dividen oleh Petronas ekoran kejatuhan harga minyak dunia, Mohd Irwan berkata, pengurangan itu dijangka tidak begitu ketara memandangkan penurunan harga minyak dunia bermula pada hujung Oktober.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih di landasan tepat untuk diteruskan dan tidak sesekali ditangguhkan memandangkan ia membantu kerajaan meraih pendapatan tambahan sekitar RM1 bilion.

Menurutnya, penguatkuasaan GST dilihat positif kerana ia boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Biarpun pelaksanaannya dilihat konservatif, namun kerajaan melihat ia mampu menjana pendapatan negara,” katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, kelembapan ekonomi dunia yang dialami dunia buat masa ini sudah dikesan lebih awal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) malah, sudah memberi reaksi segera termasuk memperkenalkan beberapa langkah bagi mengelak keadaan bertambah teruk.

Menurutnya, antara lain Malaysia melaksanakan beberapa langkah berhemah bagi mengukuhkan pasaran kewangan termasuk membina rizab antarabangsa untuk digunakan sebagai persedian berdepan kelembapan ekonomi.

“Sejak 2014, rizab antarabangsa sudah berkurangan sekitar RM19 bilion dan ia digunakan sebagai penampan bagi menampung kelembapan ekonomi.

“Selain itu, kadar hutang juga berjaya dikurangkan menerusi beberapa langkah pengawalan sekali gus membolehkan kadar hutang negara berjaya dikawal kepada 10 peratus buat masa ini berbanding 15 peratus sebelum ini,” katanya.

Katanya, beliau melihat perubahan fiskal yang diperkenal termasuk pelaksanaan GST pada April dijangka membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:45 AM
Digital NSTP Subscribe