LANDSKAP unik turut jadi tarikan.
SEGENAP sudut tampil dengan landskap menarik.
AURA hijau cipta panorama memukau.
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Satu daripada daya tarikan pelancong sama ada domestik atau dari luar ialah muzium.

Muzium sering menjadi premis wajib dikunjungi khususnya pelancong asing untuk memperoleh pelbagai informasi pensejarahan negara.

Sejak dulu muzium terus istiqamah dalam memainkan fungsinya sebagai wadah pendidikan yang membolehkan setiap warga negara dan sesiapa sahaja menyaksikan dan menghayati aneka khazanah warisan bangsa dan negara.

Demikian halnya dengan Muzium Terengganu atau dikenali Muzium Losong.

Muzium Terengganu ini selain diiktiraf muzium terbesar dan tercantik di Malaysia, ia juga memiliki keistimewaan tersendiri dan paling menonjol ialah seni landskapnya.

Sebut apa saja flora, semuanya mudah kita temui di persekitarannya kerana pengurusan Muzium ini begitu kreatif melakar situasi pemandangan supaya tidak hanya berbentuk konkrit yang kaku.

Muzium Terengganu dikategorikan satu-satunya muzium berlakar belakang taman indah atau 'Muzium Dalam Taman' kerana lokasi di lembah Bukit Losong dengan struktur tanah-tanih membolehkan apa saja jenis pokok ditanam.

Kedudukan di pesisir sungai Terengganu pula memainkan peranan sebagai pemangkin kepada wujudnya suasana indah dan mendamaikan jiwa.

Berada di sini, hati menjadi damai dan ceria melihat panorama yang memukau.

Gaya pelestarian tumbuhan asli tempatan yang dijadikan penghias persekitaran Muzium Terengganu itu bertepatan dengan amalan baik dalam melegasikan khazanah alam hijau.

Justeru, keutuhan dan kekuatan Muzium Terengganu itu tidak terhad kepada pengiktirafan sebagai muzium terbesar, tetapi penghijauan alam sekitar yang permai .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:04 AM