FIZO, Liyana dan Adi bergandingan dalam filem Isyarat Cinta.
Oleh Ramlah Zainal

Bukan naskhah yang klise sebaliknya filem Isyarat Cinta garapan pengarah terkenal Bade Azmi ada kelainan kerana memaparkan kisah cinta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak pernah diketengahkan sebelum ini.

Selain kekuatan jalan ceritanya, filem ini turut mempertaruhkan gandingan mantap pelakon seperti Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar selaku teraju utamanya.

Selaku pengarah yang dikenali dengan genre aksi, Bade turut berdepan cabaran merealisasikan Isyarat Cinta seperti dikehendaki skripnya.

"Idea asal cerita ini daripada Datuk Rosyam Nor yang juga produser filem ini. Selaku pelakon dan produser yang sangat mementingkan kesempurnaan, Rosyam sangat cerewet kerana ingin menjaga kualiti karya dihasilkan.

"Kami juga banyak berbincang dari segi skrip, jalan cerita dan pemilihan barisan pelakon untuk memastikan hanya yang terbaik pada filem ini, sekali gus memberi kepuasan pada diri dan penonton," katanya.

Bade sendiri mengakui tertarik dengan naskhah Isyarat Cinta kerana ia kisah cinta yang lari daripada kebiasaan iaitu membabitkan percintaan gadis buta dengan pemuda bisu serta pekak.

"Apa yang mencabar, saya perlu menghasilkan karya yang bagus, menghiburkan serta tidak membuat penonton bosan di pawagam nanti ," katanya.

Bade ditemui pada majlis sidang akhbar, pelancaran poster, teaser dan tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta terbitan RK Screen Sdn Bhd yang berlangsung di Damansara, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Produser filem ini, Datuk Rosyam Nor dan rakan kongsinya, Tan Ming Ne dan Sherin Wong. Ia turut membabitkan tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama RK Screen pada 4 Mac nanti.

Watak OKU cabar Adi dan Liyana

Bukan mudah untuk melakonkan watak Dhia, gadis cacat penglihatan dalam filem Isyarat Cinta, tetapi aktres Liyana Jasmay berjaya menyahut cabaran berkenaan.

"Selain tertarik dengan skrip, saya juga terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ingin bekerja dengan pengarah hebat seperti abang Bade.

"Sebagai pelakon, saya juga membuat kajian mendalam membabitkan golongan OKU dan cacat penglihatan supaya lakonan nampak seperti realiti," katanya.

Namun, saya turut berdepan dengan cabaran ketika di lokasi filem ini setiap hari.

"Saya perlu melakonkan watak Dhia, gadis cacat penglihatan yang sudahpun membiasakan diri dengan kekurangannya itu.

"Walaupun cacat, saya tidak perlu memakai tongkat ketika babak dalam rumah kerana Dhia sudahpun biasa dengan suasana dalam rumahnya sendiri," katanya.

Ditanya gandingannya dengan Adi pula, Liyana mengakui dia tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengannya dalam filem Isyarat cinta.

"Adi memang pelakon yang bagus dan tidak susah untuk kami menjiwai watak diserahkan kerana kami sama-sama melakonkan watak OKU dalam filem ini. Walaupun baru kali pertama bergandingan, kami saling 'memberi' dan profesional ketika di lokasi.

"Begitu juga Fizo, dia juga memberi lakonan yang bagus dalam filem ini seperti dikehendaki wataknya," katanya.

Bagi Adi pula, dia terpaksa mengikuti kelas bahasa isyarat selama setahun di pusat OKU di Brickfields untuk menjiwai watak Iskandar dalam filem Isyarat Cinta.

"Saya melakonkan watak Iskandar, anak orang kaya tetapi dia ada kekurangan diri iaitu bisu dan pekak. Cabaran paling besar ialah bagaimana untuk menjiwai watak pemuda bisu dan pekak yang ingin meluahkan perasaan cintanya kepada gadis yang juga cacat penglihatan?

"Justeru, saya terpaksa belajar dengan orang OKU sendiri untuk mendapat gambaran sebenar mengenai diri dan perwatakan mereka. Malah, pihak produksi juga membawa orang OKU sendiri untuk sama-sama berada dengan kami di lokasi penggambaran," katanya.

Barisan pelakon yang turut mewarnai filem ini ialah Fizo Omar (Ariel), Ismail Yaavob (Pak Din), Bea Rameshan (Azlina), Ku Fridah (Mak Teh) dan Miza Azura (Mastura).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:01 AM