POOJA mahu belajar undang-undang untuk membela nasib wanita Nepal.
POOJA mahu belajar undang-undang untuk membela nasib wanita Nepal.
SOKONGAN ayah buat Pooja  kerana berani tampil buat laporan kes rogol.
SOKONGAN ayah buat Pooja kerana berani tampil buat laporan kes rogol.
MENUKA akui masih ramai wanita mengunci mulut kerana kurang pendidikan dan kuasa ekonomi.
MENUKA akui masih ramai wanita mengunci mulut kerana kurang pendidikan dan kuasa ekonomi.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Berita pembebasan dua lelaki yang dipenjarakan kerana mengheret dan merogolnya di tandas benar-benar membuat Pooja Bohara tersentak. Dia seperti tidak percaya dan tidak sangka secepat itu si penjenayah yang meragut kehormatannya dibebaskan.

Dua lelaki berkenaan disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun pada Mac 2013, malangnya mahkamah rayuan membebaskan mereka pada April lalu kerana kekurangan bukti.

Sebenarnya bukan mudah untuk Pooja membuat laporan rogol kerana ia bukan saja memalukan dirinya sendiri, malah turut menjejaskan nama keluarga, namun dia nekad.

Meskipun dipersalahkan dan dipandang negatif oleh sesetengah anggota masyarakat kampung selepas membuat laporan berkenaan, sehingga dia terpaksa mendapatkan perlindungan di tempat lain, remaja berusia 17 tahun itu tetap mahu memperjuangkan haknya supaya kes itu dibawa ke muka pengadilan.

"Masyarakat dan sesetengah ahli keluarga menyalahkan saya. Lebih menyedihkan apabila bapa saudara mencadangkan supaya saya diletakkan di atas timbunan jerami dan dibakar hingga mati. Saya bersyukur ayah tidak terpengaruh dengan kata-kata bapa saudara itu sebaliknya dia mahukan keadilan," kata Pooja yang ditemui di pusat pemulihan di Kathmandu, membuka cerita silamnya.

"Bukan salah kita apabila kita dirogol. Tiada wanita yang minta dirogol atau dicabul. Jadi, semua mangsa perlu tampil ke hadapan dan ceritakan kejadian itu kepada mahkamah dan menuntut keadilan," sambungnya penuh semangat.

Menurut polis dan aktivis kemanusiaan, peningkatan kesedaran khususnya bagi jenayah terhadap wanita secara tidak langsung membantu ramai mangsa seperti Pooja untuk bangkit dan mencabar budaya di Nepal yang selama ini menyalahkan wanita atau memaksa mangsa mendiamkan diri.

Berdasarkan data polis, laporan jenayah terhadap wanita termasuklah rogol, keganasan domestik dan pencabulan meningkat kepada 7,847 kes dalam tempoh hujung 2013 hingga pertengahan Julai 2014 berbanding 2,477 kes pada tahun sebelumnya.

"Wanita kini semakin sedar mengenai hak mereka dan berani untuk tampil membuat laporan keganasan yang dialami kepada pihak polis. Ini termasuklah keganasan seksual," kata Mingmar Lama, ketua unit polis yang memantau kes keganasan terhadap wanita.

Pengecualian cukai, bas untuk wanita

Diapit oleh China dan India, Nepal kini perlahan-lahan mula mengiktiraf hak wanita dan lain-lain kumpulan yang selama ini sering ditindas.

Kata aktivis, perhatian atau liputan media yang semakin meluas ke atas jenayah terhadap wanita, bantahan dari kumpulan sivil, polisi kerajaan yang mesra wanita dan pelbagai kempen politik untuk mendapatkan undi wanita turut membantu memperkasakan kaum hawa di Nepal.

Penduduk Nepal mula membuka mata apabila berlakunya kes rogol beramai-ramai dalam bas yang menyebabkan kematian seorang wanita muda di New Delhi, India sehingga menyebabkan masyarakat di sana membuat piket secara aman menuntut keadilan. Berikutan kejadian yang menyedihkan itu, kerajaan India memperketatkan undang-undang berkaitan keganasan terhadap wanita.

Di Nepal, kerajaannya sudah memperkenalkan polisi mesra wanita seperti pengecualian cukai bagi wanita yang membeli hartanah. Pada masa sama, pihak polis juga menubuhkan unit khas untuk polis wanita di semua 75 daerah bagi menggalakkan lebih ramai mangsa membuat laporan keganasan yang dialami mereka.

Awal bulan ini, bas khusus untuk wanita diperkenalkan di bandar Kathmandu bagi menangani masalah gangguan seksual dan diraba di dalam kenderaan awam yang semakin banyak dilaporkan.

Walaupun kesedaran sudah meningkat dan banyak usaha dilakukan bagi melindungi wanita, ramai yang masih tidak sedar mengenai hak mereka dan berasa bimbang untuk tampil membuat laporan. Mereka bimbang dipandang hina oleh masyarakat, kata Menuka Thapa, pengetua Raksha Nepal, pusat yang memberi perlindungan kepada Pooja.

"Kekurangan pendidikan dan penguasaan ekonomi adalah antara faktor yang menyebabkan ramai wanita terus membisu. Dalam kebanyakan kes, wanita yang menderita akibat keganasan yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri tidak mempunyai pekerjaan. Mereka bergantung hidup kepada keluarga. Inilah sebabnya mereka tidak dapat membuat laporan," kata Menuka.

Keadilan masih jauh

Memang bukan mudah untuk berdepan dengan stigma masyarakat, apatah lagi keluarga sendiri. Malah, usaha wanita yang berani tampil ke hadapan membuat laporan harus dipuji kerana ia langkah pertama bagi mendapatkan keadilan yang masih jauh untuk digapai. Dalam tempoh itu, wanita perlu berdepan dengan saat getir dan kadangkala memalukan.

Ini kerana masih ada anggota polis yang tidak sensitif dan keberatan untuk mengambil serta menyiasat laporan keganasan terhadap wanita. Bahkan kekurangan mahkamah dan hakim di Nepal bermakna satu-satu kes itu mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun sebelum keputusan boleh diambil, kata Swagat Nepal, yang bekerja sebagai peguam.

"Sehingga kini, Nepal tidak mempunyai sistem atau akta yang melindungi saksi. Lebih memburukkan keadaan, ada juga mangsa yang dipaksa untuk bersepakat dengan pendera atau penjenayah walaupun pakatan itu menyalahi undang-undang," katanya.

Menurutnya, undang-undang rogol dan keganasan terhadap wanita di Nepal dianggap sudah terlalu kuno apabila ia dikategorikan sebagai peruntukan undang-undang sejak 1854. Sambungnya, draf undang-undang rogol yang khas perlu dibuat sekarang.

Tahu mengenai haknya, Pooja tidak mahu terus menunggu. Remaja berusia 17 tahun itu mengambil langkah berani dengan membuat rayuan kepada Mahkamah Agung dan dijangka kesnya diperdengarkan hujung bulan ini.

"Insiden itu benar-benar memberi kesan besar kepada hidup saya. Ia seolah-olah menjadi titik mula untuk saya memperbaiki diri dan kehidupan. Saya mahu belajar dalam bidang undang-undang dan menjadi hakim supaya boleh tegakkan keadilan untuk ramai wanita yang menjadi mangsa seperti saya," katanya.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:04 AM