Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda bersama Ketua Aktivis PPIM dalam satu sidang akhbar, di sini, sebentar tadi.
Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda bersama Ketua Aktivis PPIM dalam satu sidang akhbar, di sini, sebentar tadi.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan disarankan supaya mewujudkan satu komponen khusus bagi menangani masalah penipuan yang dilihat semakin berleluasa terutamanya membabitkan pemaju projek perumahan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, komponen itu penting untuk memikirkan langkah khusus yang boleh diambil dalam membanteras sindiket penipuan dan tidak bergantung kepada satu agensi saja.

“Jika kita lihat situasi terkini, kes penipuan ini umpama tiada penghujungnya. Tambah merumitkan, apabila ada agensi kerajaan yang saling menuding jari sesama sendiri.

“Masalah sindiket penipuan ini tidak akan ada kesudahannya jika semua pihak mengamalkan prinsip menuding jari. Langkah terbaik adalah kerajaan wajar mewujudkan komponen atau badan khusus untuk melihat perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Pada masa sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut senada apabila menggesa kerajaan untuk memandang serius perkara terbabit.

Menurutnya, masalah penipuan itu mampu mengakibatkan masyarakat awam terbeban dengan hutang sekali gus diisytiharkan muflis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 1:45 PM