TENTERA Filipina berkawal di bandar Patikol, Sulu selepas tarikh akhir diberi Abu Sayyaf berlalu, semalam.

Manila: Tarikh akhir diberi militan Islam di selatan Filipina untuk membunuh dua tebusan berakhir semalam tanpa sebarang berita mengenai nasib warga Jerman terbabit.

Pada masa sama, sumber kerajaan di Berlin memberitahu, rundingan membebaskan tebusan itu sedang berlangsung.

Seorang pegawai kanan tentera Filipina berkata, rundingan dengan kumpulan militan terbabit memang berlangsung tetapi dia tidak memiliki sebarang maklumat mengenainya.

“Sebarang cubaan membuat operasi menyelamat mungkin mengganggu rundingan yang sedang berjalan,” katanya.

Sementara itu sumber kerajaan berkata, Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier menghantar utusan khas ke Filipina untuk mencari penyelesaian.

“Utusan itu ialah Ruediger Koenig dan sudah tiba di Manila,” katanya.

Dua tebusan terbabit dilarikan dari kapal layar mereka oleh militan Abu Sayyaf pada April lalu.

Mereka kini dipercayai ditahan di kawasan terpencil di Pulau Jolo, kira-kira 960 kilometer di selatan Manila.

Abu Sayyaf berjanji untuk membunuh tebusan terbabit pada jam 3 petang semalam jika tuntutan wang 250 juta peso (RM18.2 juta) tidak dibayar.

Kumpulan militan itu juga mahu Jerman berhenti menyokong kempen ketenteraan AS ke atas anggota Negara Islam di Iraq dan Syria.

Bagaimanapun mereka kemudian menyatakan kesediaan melanjutkan tarikh akhir itu dua jam lagi jika mendapat jaminan wang tebusan dalam proses pemindahan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:06 AM