TURUT berfungsi sebagai perabot unik.
PENGGUNAAN bahan tambahan meningkatkan nilai seninya.
MENARIK tampil sebagai hiasan.

Kraf berasaskan kayu hanyut atau terbuang antara usaha Kraftangan Malaysia dalam mempelbagaikan penghasilan produk menarik, kreatif dan mempunyai nilai estetika.

Malah, kayu hanyut itu biasanya terdiri daripada pelbagai jenis pokok termasuk tembusu dan keranji.

Seterusnya direka bentuk semula oleh pereka atau pengusaha kraf kayu mengikut kreativiti dalam menghasilkan barang hiasan yang bermutu tinggi.

Daya imaginasi dan kesabaran yang tinggi amat diperlukan pengusaha kayu terbuang ini.

Ini kerana setiap bahan asas yang diperoleh harus diteliti dari pelbagai sudut seperti bentuk, saiz dan spesies kayu yang bersesuaian untuk dibentuk menjadi sesuatu produk.

Antara barangan kraf yang dihasilkan ialah mangkuk, pasu bunga, lampu tidur dan perhiasan lain yang diperbuat daripada kayu hanyut.

Mangkuk kayu larik umpamanya antara produk yang semakin digemari kerana mempunyai nilai estetika yang tersendiri.

Kreativiti bermula apabila kayu hanyut dilarik menjadi mangkuk hiasan yang eksklusif dan menarik.

Melarik adalah satu cara membentuk kayu menggunakan mesin larik.

Produk kayu larik biasanya berbentuk bulat atau selinder dengan susunan gerlang-gerlang yang menarik.

Penggunaan bahan tambahan seperti kepingan perak atau piuter meningkatkan nilai seni pada mangkuk kayu larik.

Ukiran halus yang bermotif flora dan fauna yang diukir pada kayu hanyut mengubah keseluruhan rupa bentuk asal kayu hanyut menjadi elemen hiasan taman dan dekorasi berciri tempatan yang unik dan eksklusif.

Maklumat lanjut berkaitan Kraf Kayu Hanyut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:03 AM