Kuala Lumpur: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), yang membantu masyarakat berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri akan menyerahkan 600 unit pertama rumah mampu miliknya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, projek itu masing-masing membabitkan 300 unit kediaman di Bertam, Pulau Pinang dan Kuala Ketil, Kedah.

“Saya jangkakan dapat menyerahkan rumah ini menjelang akhir tahun ini biarpun kami menyasarkannya pada Ogos ini. Pihak kami sedang berusaha memastikan semua unit itu dapat diserahkan menjelang Ogos,” katanya, baru-baru ini.

Dua projek perumahan itu antara tujuh projek di Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Melaka dan Johor yang dilancarkan dan dibuka PR1MA bagi permohonan mereka yang layak.

Projek berkenaan adalah [email protected] Damai, Kuala Lumpur; [email protected] Meru Raya, Perak; [email protected] Petani 1, Kedah; [email protected] Ketil, Kedah; [email protected] Layangkasa, Johor; [email protected], Johor dan [email protected] Tengah 1, Melaka.

Abdul Mutalib berkata, harga rumah itu berpatutan kerana lebih rendah daripada pasaran dan sambutannya ternyata amat menggalakkan.

“Proses ini jelas membuktikan komitmen berterusan PR1MA bagi memastikan mereka yang berpendapatan sederhana mencapai impian untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Pembeli disyaratkan berpendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM10,000. Sehingga kini, kira-kira 890,000 pembeli yang berpotensi mendaftar bagi memiliki kediaman PR1MA di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 14 lagi projek perumahan akan dibuka untuk permohonan tidak lama lagi selain tujuh projek sedia ada. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:04 AM