AFP

Sydney: Jepun tersingkir daripada saingan Piala Asia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengejutkan penyandang juara itu 5-4 menerusi penentuan penalti dalam aksi suku akhir mendebarkan.

Pemain gantian Ismail Ahmed (gambar) menjaringkan gol kemenangan selepas bintang Jepun, Keisuke Honda dan Shinji Kagawa gagal memanfaatkan sepakan mereka sekali gus membawa UAE ke kelompok empat terbaik selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Pasukan negara Teluk itu yang menikmati kempen terbaik kancah Piala Asia sejak muncul naib juara pada 1996, akan berdepan tuan rumah Australia di separuh akhir selepas kemenangan ke atas Samurai Biru itu.

UAE bermain cemerlang sejak awal permainan dengan penyerang Ali Mabkhout meledak sepakan lambung padu selepas tujuh minit untuk gol keempatnya pada kejohanan ini. Namun dia enggan meraikan gol itu kerana menghormati Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz yang meninggal dunia.

Ketika Jepun berada di ambang kekalahan, pemain gantian Gaku Shibasaki menjaringkan gol penyamaan dari pinggir kotak penalti pada minit ke-81 selepas menerima hantaran menarik Honda.

Pemain UAE yang memakai lilitan lengan hitam sebagai menghormati pemergian pemimpin Arab Saudi itu, mengecewakan Jepun menerusi hantaran menarik pada separuh masa dengan pemain tengah Omar Abdulrahman menjadi perancang utama.

Sebaliknya, Jepun kelihatan kepenatan dan kekeringan idea selepas jurulatih Javier Aguirre menurunkan pemain sama untuk perlawanan keempat berturut-turut, hanya memasukkan pemain gantian selepas masa rehat.

Pemain gantian Yoshinori Muto melepaskan peluang keemasan apabila tandukannya dari jarak dekat tersasar sebelum Kagawa memaksa penjaga gol UAE, Majed Naser menyelamatkan cubaannya.

Kapten Makoto Hasebe dan Honda hampir menjaringkan gol ketika Jepun memberikan segala-galanya untuk mendapatkan gol dengan Kagawa sekali lagi tersasar menerusi sepakan terakhir sebelum pengadil meniup wisel penamat aksi sebenar perlawanan.

Jepun yang meraih gelaran keempat Piala Asia pada 2011, hampir mencipta kemenangan tetapi sepakan percuma Shibasaki tersasar. UAE terus bertahan untuk memaksa penentuan sepakan penalti, sebelum Ismail menjadi wira mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:15 AM