Kuala Lumpur: Masalah kecederaan terus menghantui skuad badminton negara, kali ini membabitkan pemain perseorangan Chong Wei Feng (gambar) yang terpaksa menarik diri pada suku akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 semalam.

Wei Feng gagal meneruskan aksi set penentuan selepas kedudukan 21-17, 12-21 ketika berdepan pilihan pertama dari India, K Srikanth di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das.

Menurut pemain pilihan kelima itu, dia mula sakit paha kiri apabila cuba menyambut pukulan Srikanth ketika kedudukan terikat 8-8 pada set kedua.

“Saya berasa ketegangan di bahagian paha kiri dan tidak tahu bagaimana tahap kecederaan ini kerana perlu melakukan pemeriksaan doktor,” katanya.

Sebelum ini pada kejohanan sama, pemain beregu, Goh V Shem mengalami kecederaan lutut kiri sebelum tumpas kepada gandingan tuan rumah, Manu Attri-B Sumeeth Reddy pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, kecemerlangan beregu wanita semalam, menceriakan kem negara apabila pilihan pertama Vivian Hoo-Woon Khe Wei melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan Sanyogita Ghorpade-Arathi Kumar Reddy Malgari 21-9, 21-14.

Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pula menyingkirkan rakan senegara, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean selepas menang 21-15, 21-13.

Turut mara ke separuh akhir, beregu campuran Chan Peng Soon-Lai Pei Jing yang mengalahkan pasangan Singapura, Chayut Triyachart-Shinta Mulia Sari 21-17, 21-17.

Nasib berbeza dialami dua lagi beregu campuran apabila Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan tumpas 21-17, 18-21, 17-21 kepada pilihan pertama dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili.

Gandingan Tan Aik Quan-Meng Yean juga gagal mara selepas tumpas kepada wakil tuan rumah, Manu Attri-K Maneesha 21-23, 21-10, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:20 AM