FOTO fail NSTP/NIB (6 Mei 1969)

Kuala Terengganu: Tengku Ampuan Tua Terengganu, Tengku Intan Zaharah Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar, 86, mangkat di pusat perubatan di ibu negara, 3.26 petang, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, berkata jenazah almarhum dijangka tiba di Kuala Terengganu, kira-kira 10 pagi esok.

Berikutan itu, katanya, Terengganu akan berkabung 40 hari dan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula hari ini sehingga 4 Mac.

"Jenazah akan dibawa ke Istana Maziah sebelum dibawa ke Masjid Abidin untuk solat jenazah serta dikebumikan di Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin selepas solat zuhur," katanya.

Beliau berkata, waktu untuk pembesar negara dan negeri serta tetamu kenamaan memberi penghormatan terakhir di Istana Maziah, dijangka bermula 12 tengah hari sehingga 1 petang.

“Buat rakyat jelata yang ingin memberi penghormatan terakhir adalah dari 11 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari luar negara.

Tengku Ampuan Intan Zaharah berkahwin dengan Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 3 April 1944 dan dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949.

Baginda menjadi Permaisuri Agong dari 1965 sehingga 1970 dan pernah dianugerahkan Grand Order of the Mugunghwa oleh Presiden Republik Korea pada 7 Februario 1966.

Selain itu, almarhum dianugerahkan Darjah Utama Mahkota Negara pada 6 April tahun yang sama.

Almarhum adalah Penaung Pertubuhan Pandu Puteri Terengganu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 10:10 PM