GAMBAR hiasan
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun lemas di kolam renang ketika sedang mandi bersama bapa dan adiknya di hotel di Batu 10, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa dari Selangor dikatakan datang ke hotel terbabit untuk beriadah.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama bapa dan adik sedang leka mandi sebelum didapati hilang.

"Kanak-kanak berkenaan yang difahamkan tenggelam menyebabkan orang ramai di kawasan itu mulai panik.

"Berikutan itu penyelamat di hotel bertindak terjun ke kolam untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Menurutnya, sejurus mangsa dinaikkan daripada kolam, dia didapati masih bernafas dan dibawa bapa ke Hospital Port Dickson (HPD), di sini, untuk diselamatkan.

"Bagaimanapun, kira-kira 6 petang, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 4:37 PM