Mungkin dulu remaja lebih menyukai aktiviti yang bertumpukan pada keupayaan fizikal. HAZRIL MDNOR yakin anak muda masa kini lebih berani menceburi apa saja hobi yang dirasakan menarik dan seronok asalkan kepuasan diri diperoleh.

Sewaktu usia mula menjengah awal dewasa, kita pasti lebih tertarik pada aktiviti yang seronok dan berkualiti. Bagi mereka yang sudah bekerja, pastinya inginkan aktiviti sesuai dilakukan bersama rakan kerana hakikatnya bukanlah mudah untuk mengatur 'reunion' ataupun melepak jika masa mencemburui diri. Dengan kehadiran rakan, masa itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya selain mengundang keseronokan melalui apa saja aktiviti yang dilakukan bersama.

'Kaki' wayang

Tidak dinafikan lagi, hobi atau aktiviti hujung minggu ini ibarat norma dalam kehidupan masyarakat terdiri daripada golongan remaja. Mungkin ada individu lain yang lebih gemar melaburkan duit pada aktiviti yang lebih ekstrim, tapi bagi si penggemar filem blokbuster, mereka tidak akan ketinggalan untuk menonton wayang setiap hujung minggu. Malahan filem yang boleh ditonton bersama rakan-rakan melalui skrin begitu besar pastinya mengundang keseronokan berbanding melihat sendiri berseorangan di rumah.

Jika diperhatikan, tanyalah apa saja perkembangan filem terkini, si kaki wayang pasti mengetahui maklumat terkini tentang apa saja berkaitan dunia perfileman. Mungkin kerana plot filem itu sendiri yang menarik dan memukau penonton membuatkan mereka tidak ketinggalan menantikan setiap filem baru yang akan ditayangkan di pawagam. Malahan pengalaman menonton filem seram dan romantis pasti melakarkan kenangan yang tak mudah dilupakan.

Lepak kedai makan

Kewujudan restoran mamak yang ada di mana-mana sama ada ceruk bandar ataupun di tengah ibu kota dilihat sebagai destinasi melepak nombor satu yang menjadi pilihan anak muda negara ini. Suasananya yang riuh dan penuh dengan kehadiran orang ramai menjadi aura penarik buat si remaja yang ingin berkongsi cerita dengan rakan sebaya.

Ramai berpendapat lokasi ini lebih menarik atas faktor pemilihan makanannya yang pelbagai untuk menjamu selera. Tidak dilupakan juga perkhidmatan WiFi dan sistem operasi restoran itu sendiri yang sentiasa terbuka selama 24 jam menarik minat sesiapa saja untuk berbual kosong dan minum di malam hari. Selain banyak pilihan makanan, rata-rata restoran mamak menyediakan servis tontonan perlawanan bola sepak melalui skrin yang besar, sesuai untuk mereka yang sanggup tak tidur malam dan dibasahi embun pagi.

Tapi berlainan pula bagi remaja yang lebih pentingkan kualiti sesuatu masakan dan suasana santai sewaktu melepak. Kafe segera atau restoran yang menawarkan menu masakan bertemakan masakan barat adalah lebih sinonim dengan mereka. Makanan ala barat seperti burger, kentang goreng dan aiskrim antara menu yang sering jadi pilihan. Ada yang sukakan suasana riuh rendah sewaktu melepak dan ada juga yang gemarkan suasana lebih memberikan ketenangan.

'Tayang' suara

Tak sah jika tak 'melalak' dalam seminggu, itulah hakikat yang berlaku pada si penggemar aktiviti karaoke. Tanyalah apa saja jenis lagu pastinya mereka boleh dendangkan semua dengan mudah. Aktiviti ini dipelopori oleh semua remaja tanpa mengira status pekerjaan dan sebagainya. Tugasan tertunggak dan kerja rumah yang berlambak pastinya mengundang rasa tertekan jadi tidak hairanlah aktiviti karaoke dijadikan pilihan untuk mengurangkan masalah itu.

Seronok menyanyi di hadapan kawan-kawan mahupun insan tersayang, lebih lebih lagi apabila si penyanyi mempunyai bakat semula jadi dalam bidang nyanyian. Tidak kisah berhabis masa sehingga berjam-jam lamanya asalkan diri rasa bebas daripada masalah buat sementara waktu. Faktor pemilihan lagu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan juga Mandarin atau Korea pastinya memberikan kebebasan kepada setiap anak muda untuk menyanyi lagu kesukaan mereka.

Permainan atas talian

Istilah 'game' lebih sinonim dengan anak muda terutama lelaki yang gemar cabar mental. Bagi mereka, masa yang ada pada waktu lapang lebih sesuai diisikan dengan permainan maya sama ada di telefon pintar, komputer dan konsol. Bahkan, permainan sebegini lebih seronok jika ia disertai bersama kawan-kawan yang turut sama mengundang gelak tawa.

Walaupun sekadar hiburan, 'game' yang dimainkan sebenarnya jatuh dalam pelbagai kategori bukannya tertumpu pada satu jenis saja. 'Game' yang dimainkan menerusi laman sosial seperti Facebook boleh mewujudkan suasana santai dan menenangkan minda. Bagi anak muda yang lebih sukakan cabaran, mereka pasti lebih tertambat dengan permainan popular berkonsepkan tembak menembak atau peperangan antara dua pihak seperti 'Counter-Strike' atau 'Dota 2'.

Sukan ekstrim

Aktiviti remaja bukan saja berkonsepkan hobi yang santai tapi juga lebih terarah pada sukan ekstrim. Sukan sebegini dilihat sebagai pemangkin jati diri dan keupayaan fizikal anak muda untuk lakukan pelbagai aksi luar biasa. Sukan popular seperti memanjat gunung, mendaki dinding batu mahupun larian bebas pastinya menarik perhatian sesiapa saja yang gemarkan cabaran.

Selain itu, pengalaman yang dirasai sewaktu perjalanan sesuatu aktiviti itu pastinya mampu mengukir senyuman kepada sesiapa saja. Contohnya, aktiviti meredah hutan pasti sedikit sebanyak memberikan anak muda pengalaman baru yang belum pernah dirasai ditambah lagi dengan cabaran dan halangan tanpa mengira sudut. Justeru, aktiviti sebegini lebih sesuai untuk mereka yang sanggup mengambil risiko dan sukakan sesuatu yang memberikan kelainan.

Kumpul barang

Mengumpul sesuatu yang unik dan sukar didapati pastinya memberikan kepuasan kepada sesiapa saja. Hobi yang berkonsepkan pengumpulan barang ini memang seronok ditambah lagi dengan kewujudan komuniti yang mengumpulkan peminat hobi sama. Walaupun ia tidak membabitkan keupayaan fizikal dan mental, hobi ini memberikan kepuasan dan penghargaan buat si pengumpul.

Menariknya, terdapat barangan yang sukar didapati dan hanya diperoleh di luar negara. Hal ini memberikan cabaran baru pada si pengumpul untuk melengkapkan koleksi mereka dengan apa saja cara. Jika diperhatikan, barang yang dikumpul seperti figura, anak patung mahupun model kit lebih unik dan boleh dijadikan tatapan atau dinilai sebagai seni yang kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:02 AM