X
Agensi

Baitulmaqdis

Seorang lelaki Palestin cedera diserang dan ditikam pendatang haram Israel di Hebron, selatan Tebing Barat.

Yousef Hantash, 38, cedera di tangan selepas diserang ketika melalui jalan pintas berhampiran Dora yang terletak 30 kilometer di selatan Baitulmaqdis.

Ia bukan kali pertama serangan seumpama itu dilakukan terhadap penduduk Palestin.

Sebelum ini seorang rakyat Palestin berusia 20 tahun turut cedera selepas tentera Israel melepaskan peluru getah ke arahnya di kawasan kejiranan al-Toor di selatan Baitulmaqdis pada lewat Sabtu lalu.

Pada hari sama, tentera Israel menahan lima rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk di bandar al-Khalil dan Beit Laham.

Minggu lalu pula, lebih 20 rakyat Palestin turut ditahan dalam serbuan berasingan di beberapa kediaman di sekitar Tebing Barat.

Beberapa bulan kebelakangan ini, tentera rejim Zionis kerap menyerbu kediaman rakyat Palestin di Tebing Barat dan menahan puluhan orang yang kemudian dipindahkan ke pusat tahanan tanpa dikenakan tuduhan secara rasmi.

Selain itu banyak laporan timbul mengenai masalah kesihatan yang semakin merosot dalam kalangan tahanan warga Palestin di penjara Israel.

Jabatan Hal Ehwal Banduan Pihak Berkuasa Palestin melaporkan pada 15 Januari lalu, banduan Palestin di pusat penahanan Israel mempunyai pelbagai masalah kesihatan serius namun tidak dibenarkan mendapat rawatan sewajarnya.

Dilaporkan lebih 7,000 rakyat Palestin ditahan di 17 penjara dan kem tahanan, termasuk 18 wanita, 250 kanak-kanak dan 1,500 yang sakit - kebanyakannya dalam keadaan kritikal. Seramai 540 turut ditahan tanpa perbicaraan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:05 AM