Madrid: Kelab La Liga, Villarreal mengumumkan sudah bersetuju dengan Arsenal bagi perpindahan pertahanan Brazil, Gabriel Paulista (gambar).

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, penyerang Costa Rica, Joel Campbell akan menyertai Villarreal secara pinjaman hingga hujung musim ini.

Paulista tidak disenaraikan bagi perlawanan Villarreal menentang Levante di laman sendiri, kelmarin.

“Secara prinsip perpindahan Gabriel ke Arsenal sudah dipersetujui dan dia akan mengucapkan selamat tinggal selepas perlawanan hari ini. Kami mendoakan yang terbaik buatnya,” menurut satu kenyataan dalam akaun Twitter Villarreal.

“Selamat datang Joel Campbell. Perjanjian pinjaman dari Arsenal hingga hujung musim ini,” jelas kelab itu.

Paulista memulakan karier bersama Vitoria di negara kelahirannya sebelum menyertai Villarreal pada awal musim lalu.

Bagaimanapun, dia lebih banyak memainkan peranan pada kempen semasa, bermula dalam setiap perlawanan liga hingga kelmarin apabila Villarreal mencatat rekod tanpa kalah dalam 16 perlawanan untuk melonjak ke tangga kelima La Liga dan mara ke suku akhir Piala Raja Sepanyol serta pusingan kedua Liga Europa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:40 AM