MAHDZIR (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majunaka Eco Energy Sdn Bhd, Zaki Anhar (empat dari kanan) mengenai Stesen Jana Elektrik Sekam Padi.

Padang Terap: Majunaka Eco Energy Sdn Bhd (Majunaka) melabur kira-kira RM106 juta bagi melaksanakan projek stesen janaelektrik yang pertama di Malaysia bagi menghasilkan Tenaga Boleh Baru (TBB) melalui sekam padi yang akan menjana 9.95 Megawatt (MW) kuasa elektrik.

Pengerusi Majunaka, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, projek terbabit yang akan memproses kira-kira 300 tan sekam padi sehari dari Kedah dan Perlis membabitkan keluasan 2.8 hektar di Padang Kerasak, dekat sini dan ia dijangka mula beroperasi pertengahan tahun depan.

“Syarikat telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) serta Suruhanjaya Tenaga untuk membangunkan projek stesen janakuasa tenaga yang pertama di negara ini.

“Stesen janaelektrik ini direka untuk menjana tenaga elektrik secara berterusan dengan menggunakan sekam padi sebagai bahan bakar utama. Stesen ini juga direka untuk menepati keperluan teknikal bagi mengeksport tenaga elektrik ke Sistem Grid Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Stesen Janaelektrik Sekam Padi 9.95 MW di Naka, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, lebih daripada tujuh MW tenaga elektrik yang dijananya akan dijual kepada TNB manakala selebihnya akan digunakan oleh stesen sendiri.

“Majunaka diberi konsesi sehingga 2032 untuk menjual tenaga elektrik yang dijana itu kepada TNB pada kadar jualan yang kompetitif. Mengikut perjanjian, syarikat akan mula menjual tenaga elektrik yang dihasilkannya kepada TNB bermula 1 Januari tahun depan.

“Reka bentuk keseluruhan stesen itu serta sistemnya akan direka oleh sepasukan 15 jurutera Bumiputera tempatan. Bagaimanapun, sistem turbin stesen janakuasa ini bakal menggunakan teknologi dari Jepun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:54 AM