GELOMBANG air ketika lori mengharungi jalan itu menyebabkan kenderaan mereka tertolak ke bahu jalan. FOTO ihsan bomba
GELOMBANG air ketika lori mengharungi jalan itu menyebabkan kenderaan mereka tertolak ke bahu jalan. FOTO ihsan bomba
Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Tatau: Lapan sekeluarga yang menaiki dua kenderaan berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan mereka terjatuh ke bahu jalan dan sebuah lagi tersangkut pada tebing jalan dengan ketinggian lebih lima meter dalam kejadian di KM17, Jalan Tatau-Bintulu, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, lapan sekeluarga yang dalam perjalanan dari Tatau ke Bintulu terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Harun Jaafar berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan air di jalan berkenaan naik kira-kira setengah meter.

Katanya, ketika dua kenderaan itu melalui jalan terbabit, kebetulan datang lori dari arah bertentangan.

"Gelombang air ketika lori mengharungi jalan itu menyebabkan kenderaan mereka tertolak ke bahu jalan dengan satu daripadanya tersangkut di tebing jalan yang ketinggiannya lebih lima meter.

"Semua mangsa selamat dan mereka berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu," katanya.

Harun berkata, ketika ini jalan berkenaan ditutup satu lorong dan polis mengawasi kawasan itu sejak malam kelmarin.

"Orang ramai yang melalui jalan itu diminta mematuhi arahan polis yang bertugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 12:13 PM