Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Proses mediasi antara penulis novel, Elias Idris dengan pengarah terkenal, Yusuf Haslam dan anaknya Mohd Syamsul membabitkan isu filem Bohsia (2009) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, gagal diselesaikan secara baik.

Ia berikutan kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang persetujuan terhadap terma penyelesaian yang dicadangkan ketika kes disebut di hadapan Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim di kamarnya di sini.

Oleh itu kes itu akan diteruskan untuk perbicaraan dan Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Februari ini untuk pengurusan kes.

Pada 24 November, 2014, Elias, 63, memfailkan saman itu dengan menamakan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusuf, 31, bapanya Yusuf Haslam atau nama sebenar, Md Yusuf Md Aslam, 61, dan syarikat Skop Productions Sdn Bhd sebagai defendan.

Ketiga-tiga defendan didakwa meniru novel Elias bertajuk 'Aku Bohsia' bagi filem 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam' yang diterbitkan pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 6:22 PM