DARI kiri, Dr Zeti, Ahmad Husni, Axel    dan   Sarvesh  pada  majlis menandatangani perjanjian penubuhan pejabat Bank Dunia antara kerajaan Malaysia dengan Kumpulan Bank Dunia,    semalam.
DARI kiri, Dr Zeti, Ahmad Husni, Axel dan Sarvesh pada majlis menandatangani perjanjian penubuhan pejabat Bank Dunia antara kerajaan Malaysia dengan Kumpulan Bank Dunia, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan membenarkan mana-mana entiti individu memberi implikasi ‘sistemik’ kepada ekonomi negara.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menegaskan pihaknya tidak pernah mengulas mengenai entiti individu kerana ia prinsip asas bank pusat berkenaan yang masih terpakai sehingga kini.

“(Tetapi) kami mempunyai aturan menanganinya supaya tidak ada mana-mana entiti individu boleh memberi kesan sistemik ke atas ekonomi dan kewangan negara, itu asasnya,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penubuhan pejabat Bank Dunia antara kerajaan Malaysia dengan Kumpulan Bank Dunia di sini, semalam.

Pada majlis itu, kerajaan diwakili Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, manakala Kumpulan Bank Dunia diwakili Axel van Trotsenburg dan Pengurus Negara Indonesia dan Singapura Sarvesh Suri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelaskan hutang RM2 bilion kepada bank perdagangan terbesar negara yang berakhir 31 Disember lalu.

Ditanya mengenai pergerakan ringgit, Zeti berkata, pihaknya menyaksikan pergerakan seumpama itu sebelum ini dan ia mencerminkan suasana berlaku dalam persekitaran global.

Namun, beliau yakin ia tidak mencerminkan kadar asas negara yang kukuh dan percaya apabila keadaan kembali stabil ringgit akan bergerak mengikut trend kadar asas negara.

“Kadar inflasi diunjurkan antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus dan kita mempunyai sistem perbankan yang bermodal tinggi manakala pertumbuhan kredit 10 peratus dan pasaran modal pada dasarnya meningkat.

“Ini semua akan menyokong pertumbuhan yang mapan,” katanya.

Mengenai pelaburan dibawa balik daripada portfolio asing syarikat (SPC) yang berdaftar di Kepulauan Cayman, beliau berkata, bank pusat tidak membuat ulasan ke atas individu.

“Dalam kes ini, ia bukan oleh Bank Negara, tetapi daripada peminjam iaitu bank komersial, mereka yang membuat keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:43 AM