utama

Lalui onak duri sebelum jadi pelakon

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Untuk menempa nama di dalam industri hiburan terutama lakonan tempatan, harus melalui ujian dan cabaran tersendiri. Tidak ketinggalan pelakon Natasya Mahyan, 24, yang mula dikenali melalui drama Suamiku Paling Sweet.

Bertemu Natasya pada sesi fotografi eksklusif bersama SELEBRITI Metro Ahad minggu lalu, Natasya banyak berkongsi kisah berdepan onak duri untuk bergelar pelakon.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini sering menghadiri uji bakat untuk mencuba nasib bergelar anak seni sejak 2013.

Katanya, uji bakat pertama untuk telefilem 5 Waktu arahan Michael Ang. Biarpun sekadar watak pembantu, ia membuka peluang kepada tawaran selepas itu.

“Kemudian saya diberi peluang pula dalam telefilem Wak Sayang Lu. Ketika itu saya belum berani mencuba nasib dalam drama berepisod kerana masih belajar.

“Waktu itu saya berlakon ketika cuti semester sahaja. Selepas habis belajar pada 2016, baru saya kembali berlakon dan sibuk di lokasi penggambaran,” katanya.

Natasya atau Nur Natasya Nabila Mahyan bangga kerana namanya mula dikenali selepas menjayakan Suamiku Paling Sweet memegang watak antagonis. Sejak itu dia menjadi pilihan syarikat produksi.

Sebagai orang baru, dia mahu mencuba pelbagai jenis watak. Namun, dia lebih takut untuk membawa watak protagonis (baik) kerana lebih sukar.

Katanya, menjadi baik memerlukan dia menjadi lemah lembut walhal dia seorang yang berperwatakan ‘kasar’.

“Saya bersyukur sebab dah bawa beberapa watak berbeza. Dapat juga saya bereksperimen! Malah penonton juga mulai nampak ketika saya beraksi dalam drama itu.

“Apabila keluar rumah, penonton mulai kenal dan tegur saya,” katanya yang gembira dengan penerimaan penonton.

Natasya bergerak di bawah pengurusan No Name Management juga mula diberi peluang membawa watak utama. Antaranya drama Mr Stalker Saya Cintakan Awak untuk Hypp TV dan drama Cinta Roller Coaster memegang watak budak ‘nerd’.

Kecewa dipermainkan

Biarpun manis pada awal pembabitannya, Natasya akui pernah dijadikan bahan lawak ketika uji bakat satu drama arahan pengarah popular.

Katanya, ketika itu dia berada di Johor Bahru dan mendapat mesej pesanan ringkas untuk hadir ke sesi uji bakat di Kuala Lumpur pada hari sama.

Disebabkan enggan melepaskan peluang, dia sanggup membeli tiket penerbangan dari Skudai ke KLIA dan kemudian terus ke lokasi uji bakat menaiki tren ERL dan Grab Car.

Malangnya selepas tiba di sana hampir lewat malam, dia diberitahu uji bakat itu hanya satu program gurau senda (prank) yang ‘mengenakan’ pelakon baru.

“Ketika itu saya sangat kecewa sehingga menangis sebab sudah korbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk uji bakat yang langsung tidak wujud.

“Saya boleh terima jika gagal dalam uji bakat tapi peristiwa itu benar-benar membuatkan saya kecewa,” katanya menganggap ia pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan.

Malah isu berkorban wang ringgit dan masa bukan baru baginya yang sering berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja.

Semua itu tidak membuatkan Natasya berputus asa dan akan terus tabah menempuhi cabaran baru di masa depan.

Katanya, dia mahu perbanyakkan aktiviti lakonan kerana mahu meletakkan nama sebaris pelakon popular lain.

“Pada masa ini, saya luangkan lebih banyak masa di KL sebab terbabit dalam beberapa projek drama dan telefilem. Oktober ini sahaja ada beberapa tawaran baru untuk telefilem.

“Saya harap masyarakat akan lebih mengenali saya dan seterusnya membuka lebih banyak peluang dalam bidang ini,” katanya.

Natasya bakal muncul dalam drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku arahan Zulhuzaimi untuk slot Akasia, bergandingan bersama Raja Afiq, Puteri Aishah dan Juliana Farhana Marin.

Katanya, drama yang dijangka habis penggambaran tidak lama lagi, paling mencabar buatnya kerana dia perlu mengeluarkan lebih banyak air mata.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 2:51am
d