Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: Seorang lelaki berusia 39 tahun terselamat dalam serangan bersenjata api di hadapan rumahnya di Taman Kota Jaya di sini, jam 6.30 petang kelmarin.

Ketika itu mangsa yang memandu kereta baru tiba di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki bertopi keledar menunggang motosikal berhampiran kediamannya.

Curiga dengan kehadiran kedua lelaki berkenaan menyebabkan mangsa cuba mengundurkan keretanya untuk beredar dari situ sebelum seorang daripada penunggang motosikal terbabit melepaskan sedas tembakan.

Mangsa sempat tunduk sebelum tembakan berkenaan memecahkan cermin kereta dan mengenai tempat duduk pemandu sebelum memecut kenderaannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan serta memburu suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 1:17 PM