MUZIUM Sungai Lembing menanti pengunjung dengan pelbagai bahan pameran.
GAMBAR kenangan yang menyimpan pelbagai cerita mengenai Sungai Lembing.
BARANG lama yang turut dipamerkan di Muzium Sungai Lembing.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Pekan Sungai Lembing sinonim dengan kisah aktiviti perlombongan bijih timah yang menarik perhatian dunia kira-kira 100 tahun dulu sehingga mendapat gelaran El-Dorado Timur Tanah Melayu.

Selepas kejatuhan harga bijih timah di pasaran dunia pada 1986, Pekan Sungai Lembing yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang itu terus sunyi.

Begitupun, masih ada pihak yang prihatin dengan tragedi ini dan usaha dilakukan bagi mengembalikan semula ingatan penduduk terutama masyarakat luar kepada aktiviti lombong bijih timah yang terpanjang dan terdalam di dunia itu.

Inisiatif Jabatan Muzium Malaysia membangunkan muzium itu mengembalikan nostalgia kegemilangan Sungai Lembing sebagai bandar terkaya pengeluar bijih timah di Pahang.

Penulis yang berkunjung ke muzium itu tidak dapat membayangkan kesusahan, kesulitan dan penderitaan pelombong menggunakan gerabak kereta api yang uzur untuk mendapatkan hasil.

Ketua Muzium Sungai Lembing, Rebiah Mohd Yusuf berkata, muzium itu terlalu banyak menyimpan sejarah suka dan duka masyarakat pelombong serta pentadbir kolonial waktu itu.

Beliau berkata, pelawat pasti teruja sebaik memasuki ruang pameran yang mempamerkan koleksi peralatan perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih timah antaranya lampu berkuasa bateri, jentera gerudi, gerabak kereta api, pakaian topi keselamatan dan perabot.

Selain itu, katanya, penemuan geologi di sekitar Sungai Lembing dan beberapa tokoh yang berkait rapat dengan perlombongan Sungai Lembing seperti Sultan Abu Bakar, Tok Janggut dan WW Abel juga dipaparkan.

Tingkat atas muzium ini menempatkan sejarah perlombongan dan geologi, teknik dan kaedah perlombongan serta pakaian untuk melombong.

"Bayangkan tiada pakaian keselamatan disediakan kecuali lampu kepala bagi menyuluh kegelapan untuk mendapatkan bijih di lombong pada kedalaman mencecah sehingga 700 meter di dasar bumi," katanya.

Menurutnya, ketika zaman kegemilangan, bangunan muzium itu digunakan sebagai tempat kediaman pengurus besar manakala The European Bungalow itu dibina untuk membezakannya dengan rumah pegawai kanan Inggeris lain.

Bermula dengan bangunan yang bersaiz kecil dengan atap diperbuat daripada daun nipah dan berdindingkan kayu, ia kemudian diubah suai sehingga diambil alih Syarikat R.M.M Holding pada 1966.

"Selepas pengunduran tentera Jepun, ia diambil alih syarikat PCCL sehingga zaman gelap Sungai Lembing," katanya.

Menurutnya, terdapat sebuah bilik di tingkat atas bangunan yang pernah digunakan Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Sultan Abdullah sewaktu baginda melawat Sungai Lembing sekitar 1950-an.

The European Bungalow pernah digunakan sebagai markas tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dari 1941 sehingga 1945.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:02 AM